Berwaspada cuaca tidak menentu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Ramalan cuaca bagi beberapa hari akan datang di negara ini masih dipengaruhi kesan angin tempatan dengan pembentukan hujan dan hujan berpetir di kawasan pedalaman pada waktu petang dan bergerak menuju kawasan laut pada lewat petang atau awal malam.

Ini disebabkan, Negara Brunei Darussalam masih berada dalam monsun barat daya, di mana keadaan angin secara amnya bertiup dari arah barat daya.

Pada musim barat daya, keadaan atmosfera kebiasaannya agak stabil dan kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasa monsun peralihan pada bulan April dan Mei.

Musim barat daya biasanya akan berterusan sehingga bulan September. Semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar Ogos, negara akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan cuaca kering di rantau Asia Tenggara. Data kaji cuaca terakhir menunjukkan tidak ada sistem ribut tropika dikesan di rantau kita pada masa ini.

Sementara itu, hujan atau hujan berpetir dijangka sekali sekala lebat dan berangin dengan kelajuan boleh mencapai sehingga 50 kmsj. Ramalan keadaan ombak bagi beberapa hari akan datang pula berada di paras sedikit iaitu di bawah 0.6 meter.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Sementara itu, orang ramai dan pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya terus mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX.  Orang awam juga dapat menghubungi peramal kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Keadaan awan mendung yang disusuli hujan di perkarangan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara. Ramalan cuaca bagi beberapa hari akan datang di negara ini masih dipengaruhi oleh kesan angin tempatan dengan pembentukan hujan dan hujan berpetir di kawasan pedalaman pada waktu petang dan bergerak menuju kawasan laut pada akhir petang atau awal malam.
Hujan turun dilihat di kawasan ibu kota kelmarin.