Berwaspada di jalan raya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Setiap pemandu ditegaskan supaya lebih peka dan teliti dalam memastikan kenderaan yang hendak dipandu sentiasa dalam keadaan selamat, selain memandu mengikut undang-undang dan peraturan jalan raya, sentiasa memandu dengan berhati-hati, berwaspada, bertolak-ansur serta bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya.

“Jika kerosakan atau kebakaran berlaku ketika dalam pemanduan atas jalan raya, pemandu bila-bila masa sahaja menghadapi masalah pemanduan seperti hilang kawalan terhadap kenderaan yang sedang dipandu umpamanya masalah brek yang tidak dapat berfungsi, enjin kenderaan boleh sahaja bila-bila masa terhenti yang akan menyebabkan pemandu hilang fokus di mana perkara itu boleh mengundang kemalangan.”

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei, Penguasa Kanan Pengiran Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani semasa sidang media bersama dengan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengenai kejadian kenderaan terbakar yang berlangsung di Ibu Pejabat JPD, Beribi, hari ini.

Di samping itu, punca kebakaran kenderaan adalah disebabkan oleh kerosakan pada enjin dan bahagian atau komponen mekanikal kenderaan kerana diubahsuai atau menggunakan alat ganti yang tidak bersesuaian atau diperbaiki oleh bengkel atau pihak yang tidak berkelayakan.

Beliau menyatakan lagi bahawa kemalangan di jalan raya bukan sahaja boleh mengakibatkan kerosakan pada harta benda tetapi juga boleh meragut nyawa dan kecederaan bukan sahaja pada pemandu atau penumpang dalam kereta yang sedang dipandu malah pada pengguna jalan raya yang lain.

Penguasa Kanan Pengiran Haji Abdul Salam menyampaikan nasihat semasa sidang media bersama mengenai kejadian kenderaan terbakar, kelmarin.

“Sebaliknya, kemalangan itu juga boleh mengakibatkan kebakaran pada kenderaan apabila terjadi hentakan yang terlalu kuat disebabkan kelajuan di mana ini boleh menyebabkan kebocoran atau spark di bahagian komponen enjin,” tekannya.

Di samping itu, Penguasa Kanan Pengiran Haji Abdul Salam menasihati mana-mana individu yang hendak membeli kenderaan, mereka harus mengetahui sejarah kenderaan berkenaan sebelum ia dimiliki kerana berkemungkinan kenderaan itu pernah mengalami kerosakan yang sudah tidak melayakkannya untuk dipandu atas jalan raya.

“Erti kata lain, jangan mudah terpedaya dengan hanya melihat kepada luaran kenderaan sahaja,” tambahnya.

Sebagai tambahan, beliau berkata bahawa kebakaran kenderaan bukan sahaja berpunca daripada kerosakan seperti yang dinyatakan tetapi boleh juga berpunca daripada bahan-bahan yang mudah terbakar yang ditinggalkan dalam kenderaan seperti powerbank, kanta pembesar, minyak atau cecair mudah terbakar dan seumpamanya.

“Pemandu juga dinasihati mematuhi peraturan semasa pengisian minyak di stesen minyak terutama hendaklah memastikan enjin kenderaan dimatikan sebelum mengisi minyak,” tambahnya.

Beliau menyatakan lagi, bagi menggelakkan daripada sebarang kebakaran berpunca daripada perkara-perkara yang dinyatakan, setiap orang terutama pemandu hendaklah mementingkan tanggungjawab masing-masing di mana pengetahuan dan kesedaran umum terhadap risiko kemalangan adalah sangat mustahak.