Best cycling team Tutong hulur sumbangan

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 27 APRIL – Usaha petugas barisan hadapan yang sedang menangani situasi jangkitan COVID-19 terus mendapat perhatian dan sokongan daripada semua pihak di Negara Brunei Darussalam yang sama-sama tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk sama-sama menangani wabak berkenaan.

BEST Cycling Team Tutong, baru-baru ini, turut menghulurkan sumbangan berupa pek makanan untuk kakitangan perubatan barisan hadapan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong.

Hadir menyampaikan sumbangan ialah pengerusi kumpulan berkenaan, PW1 (B) Haji Aminudin bin Haji Abdul Karim yang menyerahkannya kepada Pentadbir Hospital PMMPMHAB, Haji Mohammad Danil bin Haji Othman.

Dengan adanya sumbangan berkenaan, ia diharap dapat mendidik semua lapisan masyarakat agar sentiasa menyemai semangat tolong-menolong dan juga sikap keprihatinan kepada yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam kita menghadapi krisis sebegini.

Hal ini sekali gus dapat menggambarkan tanda penghargaan kepada mereka yang bertungkus-lumus dalam menangani COVID-19.

BEST Cycling Team Tutong, baru-baru ini, menghulurkan sumbangan berupa pek-pek makanan untuk kakitangan perubatan barisan hadapan di Hospital PMMPMHAMB, Tutong.