Berbulan menjalani penggambaran filem aksi The Original Gangster (TOG) arahan sutradara sensasi, Syamsul Yusof, banyak pengalaman ditimba Beto Kusyairy, yang disifatkan antara cabaran yang perlu dihadapi sebagai anak seni.
Seperti pernah dinyatakan Beto dalam temu bual sebelum ini, kudrat yang tidak lagi segagah dahulu disebabkan faktor usia, menyebabkan babak aksi yang dilakukan mengundang padah, terutama jika tidak membuat latihan fizikal mencukupi.
Berkongsi pengalaman membintangi TOG yang menampilkan ramai pelakon hebat itu, Beto atau nama sebenar, Nurkusyairy Zakuan Osman, 43, memberitahu, dia mengalami kecederaan yang agak serius hingga terpaksa dimasukkan ke hospital dalam menyiapkan naskhah berkenaan.
“Saya baru selesai menjalani penggambaran filem TOG. Insya-Allah, filem ini akan masuk panggung wayang pada 2024. Tarikh sebenar tayangan, saya tidak pasti.
“Tidak dinafikan, berlakon dalam naskhah ini memang penat. Letih sebab filem ini memang tinggi dari aspek tuntutan fizikalnya.
“Filem ini bergenre aksi drama. Apabila kita sebut mengenai filem aksi, banyak babak pertarungan, letupan dan adegan tembak-menembak.
“Ini kali kedua saya bekerja dengan Syamsul dan dia sangat teliti. Dia juga tahu apa yang dimahukan daripada pelakonnya.
“Disebabkan saya pernah berlakon di bawah arahannya, saya sudah tahu kehendaknya.
“Biasalah, buat filem aksi, pasti akan ada kecederaan berlaku. Ini membuatkan saya terpaksa masuk hospital,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Beto enggan mendedahkan butiran terperinci kecederaan dialaminya itu.
“Tunggulah nanti apabila filem ini hendak ditayangkan, barulah saya berkongsi kecederaan saya itu. Saya hendak bagi penonton berdebar dan tertanya-tanya (ketawa).
“Apa yang boleh saya katakan, kecederaan memang serius. Lebih kurang sama dengan kecederaan yang pernah saya alami ketika berlakon filem Halimun,” kata pemenang trofi Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini.- Agensi