Sunday, February 16, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beto dipilih watak utama dalam filem pendek

    Aktor popular Malaysia, Beto Kusyairy, memuji usaha Bank Rakyat menerbitkan filem pendek bertajuk Aur dengan Tebing kerana mampu mengangkat nilai perpaduan bangsa di Malaysia.

    Dengan watak utama digalas dalam filem pendek berdurasi sembilan minit dilancarkan sempena ulang tahun ke-70 syarikat perbankan itu, Beto berharap kerjasama pertama antara mereka mampu memberi manfaat kepada penonton.

    “Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Bank Rakyat. Saya suka apa yang cuba diketengahkan menerusi filem pendek ini.

    “Tidak membezakan bangsa dan ini yang cuba diketengahkan mereka termasuk bantuan diperkenalkan dalam video pendek yang mungkin orang luar tidak tahu,” katanya pada sidang media sempena tayangan perdana filem pendek Aur dengan Tebing di Aurum Theater, The Gardens Mall, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, pemilihan Beto berdasarkan kemunculannya dalam beberapa video iklan raya yang berjaya menyentuh jiwa penonton.

    Beto puji usaha Bank Rakyat menerbitkan filem pendek, Aur dengan Tebing kerana mampu mengangkat nilai perpaduan bangsa. – Berita Harian Online

    “Pemilihan pelakon dilihat berdasarkan jalan cerita. Untuk pelakon kanak-kanak, kami mendapatkan saranan daripada pasukan produksi yang lebih arif dalam menguruskan mereka.

    “Untuk pelakon dewasa seperti Beto, kami lihat dia antara pelakon yang selalu ada dalam iklan raya, malah ada kepelbagaian watak yang dibawakan.

    “Jadi, saya rasa watak utama untuk filem pendek ini sesuai untuk Beto,” katanya.

    Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff; dan pengarah Aur dengan Tebing, Bobby Husaini.

    Aur dengan Tebing menampilkan kisah keutuhan persahabatan tiga sahabat, Adam, Raj dan Ah Chong yang melalui pelbagai cabaran hidup demi mencapai impian dan kebahagiaan.

    Selain Beto, filem pendek itu juga menampilkan Khir Rahman, Aghonderan Sahadevan, MN Firas, Ah Chong dan S Yasshan.

    Filem pendek itu mengangkat perjalanan persahabatan sejak kecil dan membawa penonton merentasi dua garis masa penuh nostalgia. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda