Thursday, November 7, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beto Kusyairy hanya ada sebulan dapat tubuh sasa

    Pelakon Beto Kusyairy sanggup mengupah jurulatih kecergasan peribadi atau personal trainer demi mendapatkan tubuh badan berotot bagi menjayakan watak dalam filem Gayong.

    Menurut Beto atau Nur Kusyairy Zakuan Osman, 44, dia terpaksa berbuat demikian kerana ingin menzahirkan karakter dengan tubuh sasa yang dibawakan dalam naskhah berkenaan.

    “Saya dalam proses buat badan dan sedang cuba sehabis baik untuk dapatkan fizikal berotot dalam waktu kurang sebulan. Malah saya terpaksa ambil inisiatif mengupah personal trainer untuk membantu saya. Sebab saya tak suka pergi gim melainkan tuntutan kerja,” katanya kepada mStar.

    Beto kini sedang mempersiapkan diri bagi menggalas watak sebagai pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia merangkap mahaguru silat, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman.

    Dalam pada itu, selain pergi ke gim sebanyak lima kali seminggu, Beto juga memberitahu dia terpaksa menaikkan berat badan untuk nampakkan dirinya lebih besar. Justeru, aktor itu perlu mengambil jumlah kuantiti protein dengan kadar yang besar setiap hari.

    “Dalam seminggu saya akan bersenam di gim selama lima hari dan sekurangnya satu jam. Selain itu, saya kena naikkan berat badan dengan minum susu protein dan makan telur separuh masak sebanyak 10 biji setiap hari,” ujarnya.

    Sementara itu, Beto sedia maklum dia memegang amanah yang berat dengan melakonkan satu figura hebat dalam dunia persilatan.

    Tambah pelakon filem Imaginur itu, demi menjaga nama baik waris dan rakan Allahyarham, dia akan cuba sehabis baik agar tidak memburukkan nama arwah.

    “Kita sedia maklum, waris dan rakan Allahyarham masih ada dan kita pula mahu mengangkat namanya. Tanggungjawab menggalas watak ini sangat berat apatah lagi persepsi masyarakat sudah tentu tinggi untuk melihat hasilnya. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik hasil sokongan semua,” jelasnya.

    Beto bakal berlakon dalam filem Gayong yang akan memulakan penggambaran 5 Oktober depan dan menemui penonton pada Mei 2025. – Agensi

    Beto mempunyai masa sebulan untuk persiapkan tubuh badannya lebih berotot sebelum penggambaran filem Gayong bermula. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda