Beyond tomorrow, SMSS meterai MoU

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Dengan kemajuan teknologi yang semakin meningkat, tidak dapat dinafikan bahawa permintaan kepakaran dalam bidang teknologi juga turut meningkat dengan banyak lepasan graduan dari pelbagai institusi, kolej dan universiti yang berprestij sukar untuk mengisi jurang bidang tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Beyond Tomorrow Sdn Bhd, Tee Kok Keong menekankan perkara tersebut pada majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) Program Profesional Muda Beyond Tomorrow antara Syarikat Beyond Tomorrow dan Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMSS) hari ini.

Memorandum tersebut ditandatangani secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Beyond Tomorrow Sdn Bhd sementara SMSS diwakili oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran Bahagian Menengah SMSS, Dayang Gazala binti Abdullah.

Hadir bagi menyaksikan penandatanganan tersebut ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang selaku tetamu kehormat, Ketua Inovasi, imagine Sdn Bhd, Joey Heng dan Pengurus Jangkauan (Outreach) Kapasiti AITI, Haji Hadi Iskandar bin Dato Paduka Haji Mohammad.

Tee juga menekankan bahawa perlunya menghadapi perubahan pesat dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi, dengan kemunculan teknologi selular 5G telah mendorong perlunya memulakan Program Profesional Muda Beyond Tomorrow.

Terkenal dengan metodologi latihan yang canggih, Program Profesional Muda Beyond Tomorrow menyasarkan kanak-kanak dan orang dewasa untuk memiliki asas dalam teknologi selular seperti 3G (WCDMA), 4G (LTE), 5G (NR) dan seterusnya. Sekali gus mencapai Wawasan Brunei 2035, untuk menghasilkan pakar teknologi tempatan tanpa pergantungan pakar asing dengan kemahiran digital terkini.

Melalui MoU tersebut dihasrat dapat membuka peluang untuk kanak-kanak dan orang dewasa dalam mengubah diri mereka menjadi pakar dalam bidang tersebut melalui Program Profesional Muda. Kerjasama tersebut selaras dengan visi Wawasan Brunei 2035 dengan tujuan melahirkan pekerja yang berkemahiran di masa depan dalam bidang teknologi telekomunikasi dan penyiaran. Matlamat program berkenaan, sambil mengambil perbezaan perspektif pendidikan abad ke-20 dan konsep pembelajaran pada abad ke-21, adalah untuk mempersiapkan kanak-kanak dan orang dewasa muda untuk industri ICT, terutama dalam telekomunikasi selular 4G LTE dan 5G NR.

Penandatanganan MoU Program Profesional Muda Beyond Tomorrow antara pihak Beyond Tomorrow Sdn Bhd dan Sekolah Seri Mulia Sarjana.
Pihak Beyond Tomorrow dan SMSS bergambar ramai di majlis penandatanganan tersebut.