LE MANS, 15 MEI – Pelumba Itali, Marco Bezzecchi dengan mudah mematahkan saingan Jorge Martin untuk meraih kemenangan dalam perlumbaan MotoGP ke-1,000 di Le Mans, kelmarin.
Beberapa calon juara perlumbaan seperti juara dunia, Francesco Bagnaia, yang bermula di petak pertama, dan juara enam kali, Marc Marquez terbabas dalam perlumbaan yang kelam-kabut, membolehkan Johann Zarco melengkapkan podium di trek halamannya.
Pemandu Ducati, Bezzecchi terpaksa mengatasi penalti awal selepas memintas Marquez sekali gus memaksa kedua-dua pelumba itu keluar dari trek.
Tetapi selepas digugurkan satu tempat di belakang, dia segera mengukuhkan kedudukan dan mempamerkan kawalan penuh selepas mendahului untuk meraih kemenangan MotoGP keduanya, berikutan kemenangannya di Argentina bulan lalu.
“Ia adalah hari yang luar biasa bagi saya,” katanya kepada Motorsport.com.
“Sejujurnya, pagi ini saya tidak mengharapkan perlumbaan seperti ini.
“Tetapi semalam saya berasa selesa dengan motosikal saya dan saya tahu bahawa dengan permulaan yang baik saya boleh membuat sesuatu yang lebih jelas, saya tidak menjangkakan kemenangan, tetapi sekurang-kurangnya ia merupakan perlumbaan yang baik.
“Kemudian hari ini, apabila saya memulakan perlumbaan, saya melihat bahawa saya lebih pantas daripada pelumba di hadapan saya.
“Saya dapat memintas mereka. Apabila saya mendahului, saya dapat mengekalkan kelajuan yang baik dan saya berasa sangat selesa dengan motosikal saya dan saya dapat melepaskan diri daripada pelumba lain.” – AFP
