Tuesday, December 5, 2023
23.1 C
Brunei

    -

    BFB anjur kempen derma darah

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 4 OKT – Bagi membantu meningkatkan bekalan darah untuk membantu mereka yang memerlukan, British Forces Brunei (BFB) telah menganjurkan kempen derma darah dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Pusat Komuniti Chit Chat, Seria kelmarin.

    Kempen itu disertai 62 pegawai tentera dan Local Employed Civilians (LEC) dari BFB.

    Koordinator acara, Koperal Satkar Shahi berkata kempen derma darah itu berfungsi sebagai satu peringatan tentang kepentingan menderma darah di samping pelbagai manfaat kesihatan yang boleh diperoleh daripada aktiviti menderma darah.

    “Salah seorang anak perempuan kakitangan LEC kami yang berusia 7 tahun menghidap talasemia, iaitu gangguan darah yang diwarisi yang menyebabkan badan seseorang mempunyai hemoglobin kurang daripada biasa, dan dia memerlukan pemindahan darah (A positif) setiap minggu,” tambahnya.

    Sebagai penderma darah tetap, Koperal Satkar mengongsikan tindakan kecil menderma darah dapat membantu kanak-kanak seperti anak perempuan LEC itu untuk menjalani gaya hidup yang lebih positif.

    “Saya tahu terdapat ramai lagi di luar sana yang mengalami keadaan yang sama atau lebih serius yang memerlukan darah, dan tindakan menderma darah ini boleh membantu menyelamatkan nyawa.

    “Melalui inisiatif ini, saya berharap ia dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dan faedah menderma darah di samping menggalakkan komuniti untuk menyertai kami dalam memberikan kesan positif kepada kehidupan orang lain. Bersama-sama, kita boleh membantu menyelamatkan nyawa dan memupuk masyarakat yang lebih penyayang,” tambah Koperal Satkar.

    Di antara 64 yang telah mendaftar untuk kempen itu, 62 layak untuk menderma satu pain darah setiap seorang. Minuman dan hadiah telah disampaikan kepada mereka yang mengambil bahagian sebagai tanda penghargaan pada akhir acara.

    Antara kakitangan yang mengambil bahagian dalam kempen derma darah BFB bertempat di Pusat Komuniti Chit Chat, Seria baru-baru ini. – Gambar oleh Daniel Lim
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    India setuju tarik balik tentera dari Maldives

    NEW DELHI, 4 DIS – India telah bersetuju untuk menarik balik tenteranya dari Maldives, kata presiden kepulauan strategik itu, memenuhi janji yang dibuatnya menjelang...