BFB ke-3 Tampilkan penerbit Indonesia, filem Pakistan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Blitz Filem Brunei (BFB) ke-3 terus membuka lebih banyak peluang untuk pelajar perfileman dan pembikin filem profesional serta yang bercita-cita dengan siri Close-up dalam bidang industri.

Bagi siri berkenaan, BFB menghoskan dan menjemput penerbit Indonesia, Sheila Timothy yang telah berjaya menghasilkan filem yang mendapat perhatian Pictures and Fox International iaitu Wiro Sableng.

Dalam temu bual bersama media di Institut Kesenian Asia Mahakarya, Plaza Athirah, hari ini, Sheila Timothy berkata, dua buah karya yang dihasilkannya akan ditayangkan dalam BFB iaitu Banda: The Trail Dark Forgotten yang berupa dokumentari dan satu lagi ialah Wiro Sableng 212.

Katanya lagi, setelah berpeluang berkunjung ke beberapa tempat menarik di negara ini, beliau melihat beberapa tempat berpotensi untuk pembuatan filem di samping melahirkan rasa kagum melihat penghasilan filem Yasmine oleh Origin.

“Pada masa ini, untuk menghasilkan sesebuah filem itu mempunyai risiko dan adalah perlu untuk menjalin kerjasama dengan beberapa buah negara yang bukan saja di negara sendiri.
“Brunei banyak menawarkan peluang yang bukan saja tempat yang berpotensi untuk menghasilkan filem, bakat dan kemahiran malah juga rangkaian kerjasama,” jelasnya.

TYT Mejar Jeneral (B) Abdul Aziz Tariq bergambar ramai bersama penganjur dan hadirin semasa acara tayangan berkenaan.
Sheila Timothy ketika ditemu bual media, berkata bahawa Brunei mempunyai banyak peluang dan tempat yang berpotensi untuk industri perfileman.

Pada sesi perkongsian yang dihadiri penyiar profesional, pembikin filem, pelajar Institut Kesenian Asia Mahakarya dan peserta 96 jam Film Blitz, Sheila Timothy berpeluang berkongsi pengalaman penghasilan filem dan latar belakang pasaran industri filem di Indonesia.

Terdahulu itu, beliau juga berpeluang melihat lebih dekat lagi institut berkenaan.
Manakala itu, Pengarah BFB, Dayang Siti Kamaluddin mengucapkan terima kasih kepada Sheila Timothy sebagai tetamu penceramah untuk sesi penutupan filem BFB di mana beliau merupakan penerbit yang pertama di Asia Tenggara menjadi pengeluar bersama dengan Fox International untuk filem Wiro Sableng 212.

Dalam ada itu, BFB juga telah menarik ramai penonton, semalam, dengan tayangan tiga filem yang menghargai perfileman Pakistan di institut kesenian berkenaan.

Hadir bagi memberikan sokongan ialah Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Abdul Aziz Tariq.

Beliau memuji para penganjur kerana menyediakan platform untuk memperkenalkan penonton Brunei kepada budaya Pakistan serta mengumpulkan komuniti Pakistan di Brunei bagi pengalaman seperti berada di negara sendiri.

Tuan Yang Terutama menggambarkan acara itu sebagai hiburan dengan tujuan yang bukan sahaja mendidik orang ramai malah meningkatkan perhubungan sesama manusia.

Tiga filem yang ditayangkan pada acara itu adalah Na Band Ba Barati, filem mengenai tentera laut bertajuk Laal dan filem aksi Waar yang diarahkan oleh pengarah terkemuka, Bilal Lashari.
Kira-kira 24 filem antarabangsa akan ditayangkan semasa acara berkenaan dari 14 hingga 28 Disember di institut kesenian tersebut.