Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BFL 2017 janjikan aksi hebat

    Oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Kota Junior berhasrat melakukan hatrik dengan muncul juara Liga Futsal Brunei (BFL) tiga musim berturut-turut dan peratus bagi mencapai hasrat itu adalah sangat tinggi dengan kehadiran lapan orang pemain kebangsaan dalam barisan skuadnya musim ini.

    Walau bagaimanapun semasa Sidang Media di NFABD House petang ini, ketua jurulatih Kota Junior, Awang Muhammad Faisal bin Haji Mat Salleh menegaskan hasrat itu tidak mudah dicapai kerana semua pasukan dalam BFL 2017 juga berhasrat muncul juara terutama sekali tiga pesaing terdekatnya: Shah United FC, Arbisyam FC dan MS ABDB.

    “Lebih-lebih lagi Shah United FC yang telah melantik ketua jurulatih baru dari Malaysia, yang pastinya menampilkan sesuatu yang baru, berbeza daripada apa yang pernah pasukan itu tampilkan dalam dua musim BFL sebelum ini, ketika mereka muncul naib juara berturut-turut,” tambahnya.

    BFL 2017 menampilkan perbezaan musim ini apabila Majlis Pembukaan Rasmi yang dijadualkan esok akan menyajikan perlawanan persembahan di antara Kota Junior dengan pasukan undangan dari Pahang, Malaysia: Kuantan Rangers FC.

    Perlawanan menarik di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu dijadualkan bermula pukul 8:30 malam, maka orang ramai khususnya para peminat sukan futsal tanah air adalah dialu-alukan hadir bagi menyaksikan perlawanan yang dijangka hebat itu.

    Sidang Media Majlis Pembukaan Rasmi BFL 2017 yang berlangsung di Bilik Persidangan NFABD House.
    Sidang Media Majlis Pembukaan Rasmi BFL 2017 yang berlangsung di Bilik Persidangan NFABD House.

    Kuantan Rangers, walaupun baru dibentuk lima bulan yang lalu, merupakan pasukan proaktif berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan lima hari seminggu sambil diperkuat dengan kehadiran lima orang pemain yang pernah bermain dalam Liga Futsal Kebangsaan (LFK) bersama Selangor dan Pahang. Ketua pasukan Kota Junior, Awang Faizul Jefry bin Haji Zaini mendedahkan mereka teruja dengan kehadiran Kuantan Rangers FC bagi memeriahkan suasana Majlis Pembukaan Rasmi BFL 2017 dan berharap perlawanan itu akan menjadi bualan mulut orang ramai yang menontonnya esok.

    “Kami baru berlatih bersama selama tiga minggu kerana ramai pemain kami terlibat dalam Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) baru-baru ini. Namun kami melihat SKBD banyak membantu pemain mengekalkan kecergasan masing-masing walaupun bermain dalam pasukan berbeza,” katanya lagi.

    Muhammad Faisal menjanjikan perlawanan hebat esok. Menurutnya perlawanan itu akan menjadi sukat-sukat buatnya menilai prestasi pemainnya sebelum mengharungi perlawanan-perlawanan dalam BFL 2017. Hadir mewakili Kuantan Rangers dalam sidang media hari ini ialah ketua jurulatihnya, Awang Mohammad Faizul bin Abdul Gaffar dan ketua pasukannya, Awang Mohd Akhmall bin Abdullah.

    Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini BFL 2017 dengan melayari laman sesawang rasmi BFL 2017 iaitu www.brilyansport.com/bfl2017.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda