Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Barramundi Group (B) Sdn Bhd (BGB) telah meraikan pencapaian penternakan 100 tan ikan Selongsong (Barramundi) di Negara Brunei Darussalam dengan majlis perasmian pencapaian berkenaan diadakan di Restoran Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Negara di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran Singapura, Tuan Yang Terutama Desmond Tan.
BGB merupakan anak syarikat milik penuh Barramundi Group Limited (BGL) yang beribu pejabat di Republik Singapura yang disenaraikan di Euronext Growth Oslo di Norway.
Majlis berkenaan turut menyaksikan majlis penandatanganan dua perjanjian antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan Syarikat BGB.
Perjanjian berkenaan adalah bagi membenarkan BGB untuk menggunakan tapak Akuakultur Sungai Mangsalut, Kampung Tanah Jambu seluas 17 hektar dan Ladang Ternakan Ikan Lautan Pelong seluas 776 hektar.
Menandatangani bagi pihak KSSUP ialah Dayang Noraini binti Haji Anggas manakala itu, BGB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif BGL, Anderas Peter Illum Wildfang von Scholten.
Ikan-ikan tersebut juga akan dipasarkan di pasaran domestik dan eksport di bawah jenama Kuhlbarra.
Dengan perjanjian tersebut, Syarikat BGB akan dapat mengembangkan aktiviti penternakan di laut, penetasan ikan dan pemprosesan selain akan dapat meningkatkan pengeluaran ikan, secara tidak langsung menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Syarikat berkenaan turut merancang untuk menubuhkan rantaian nilai daripada penetasan, semaian, ladang sangkar laut, pemprosesan sehingga pemasaran jenama Kuhlbarra selain menjangka akan mengeluarkan 3,000 tan ikan Selongsong setiap tahun menjelang 2026 yang kira-kira bernilai $30 juta.
Dalam memperkenalkan produk Kuhlbarra di pasaran domestik, syarikat berkenaan akan bekerjasama dengan Syarikat Royal Brunei Culinary untuk menampilkan beberapa hidangan produk Kuhlbarra di restoran mereka di Anjung Saujana dan Dynasty bermula Jun depan.
Pada majlis itu, ketua pegawai eksekutif BGL mengongsikan aktiviti-aktiviti penternakan dan bekalan ikan Selongsong secara global di samping latar belakang syarikat BGL dan perkembangan syarikat BGB sejak ia mula beroperasi pada 2021 yang mana setakat ini, syarikat berkenaan telah mampu mencapai penternakan sebanyak 100 tan ikan Selongsong.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruh-jaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Heng Aik Yeow dan pegawai-pegawai kanan serta wakil-wakil daripada kedua-dua buah kerajaan dan pihak berkepentingan yang lain.
Pemegang saham BGL termasuk kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Dana Modal Pembangunan Strategik di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi.