Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Sebanyak 1.4 tan sampah telah berjaya dikumpulkan dari Pantai Jerudong oleh kira-kira 200 orang sukarelawan semasa Kempen Kebersihan Pantai Brunei Gas Carriers (BGC) 2023, kelmarin.
Kempen itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial BGC, Clean Rivers, Clean Seas, bagi menjana kesedaran dan mempromosikan pemuliharaan alam sekitar bersempena dengan Hari Maritim Sedunia 2023 yang jatuh pada 28 September.
Acara itu juga merupakan tahun keempat BGC bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) di mana kempen berkenaan berjaya mengumpulkan sebanyak 1.4 tan sampah di sekitar 2 kilometer pesisir pantai.
BGC juga bekerjasama dengan Makan Ceria Brunei Sdn Bhd bagi menyediakan jamuan semasa acara berkenaan.
Hadir untuk sama-sama mengambil bahagian ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.
Turut menyertai kempen ialah kakitangan BGC dan keluarga mereka, wakil-wakil daripada komuniti Jerudong, agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi dan sekolah-sekolah.
Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen bin Abdurrahman Liew dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa kawasan pesisir pantai memainkan peranan penting dalam menyokong biodiversiti, menyediakan mata pencarian dan menawarkan ruang riadah bagi komuniti di serata dunia.
Malangnya, jelas beliau, persekitaran berkenaan berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pencemaran dan serpihan marin di mana kita harus bertanggungjawab serta bekerjasama untuk memastikan daya tahan dan kelangsungan pesisir pantai bagi generasi akan datang.
“Sebagai seorang penyokong setia usaha Negara Brunei Darussalam untuk mempromosikan kemampanan alam sekitar, kita akan terus menganjurkan acara seperti ini bagi mempromosikan lagi pemuliharaan alam sekitar dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di Brunei Darussalam khususnya generasi muda,” ulas Kapten Abdul Mateen lagi.
Semasa acara itu, para peserta yang dilengkapi dengan sarung tangan, beg sampah dan pelbagai peralatan yang diperlukan telah bekerjasama untuk mengeluarkan serpihan, sisa plastik dan pelbagai bahan pencemar yang boleh mengancam penghuni dan kehidupan marin.
Kempen itu juga menyaksikan penyertaan daripada pelajar-pelajar sekolah di mana ia merupakan satu pendedahan yang amat berguna bagi memberikan pengalaman menyaksikan sendiri kesan pencemaran sisa buangan di pantai.
Menerusi pendedahan itu, diharap kanak-kanak berkenaan selaku generasi masa hadapan, akan terus bekerjasama menyokong usaha itu dan mengambil tanggungjawab menyebarkan lagi kesedaran pemuliharaan alam sekitar, pantai dan lautan kepada keluarga dan rakan-rakan mereka.
