Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Brunei Gas Carriers (BGC) buat julung kalinya telah mengadakan Majlis Graduasi i-Usahawan pertamanya di Ibu Pejabat BGC, hari ini, untuk mengiktiraf dua rakan niaga i-Usahawan pertama BGC iaitu Mortar Sdn Bhd dan Munch Brunch Canteen Sdn Bhd.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Tenaga) di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BGC, selepas tiga tahun berjaya bekerjasama dengan BGC di bawah program i-Usahawan melalui perkhidmatan pengurusan acara, Mortar Sdn Bhd telah menyokong BGC dalam menganjurkan beberapa acara penting termasuk Maritime Talent Pipeline Achievements Ceremony (MTPAC), yang menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dan keinginan untuk mempelajari selok-belok dalam industri yang sangat kompetitif.
Munch Brunch Canteen di bawah perkhidmatan pembersihan dan sokongan pejabat, juga telah menunjukkan profesionalisme dengan memberikan standard kerja yang tinggi walaupun menghadapi situasi COVID-19 yang mencabar, untuk memastikan pejabat sentiasa dibersihkan untuk keselamatan semua orang di tempat kerja.
BGC berbangga untuk menyaksikan pertumbuhan besar kedua-dua rakan niaga berkenaan dan membolehkan mereka meneruskan perjalanan sebagai sebuah syarikat Brunei yang berdaya saing, berkhidmat kepada pengendali dan organisasi lain di negara ini.
Harapan BGC agar peserta i-Usahawan yang akan datang juga akan memikirkan perkembangan tersebut dan mendapat inspirasi untuk memanfaatkan program i-Usahawan untuk membina dan mengembangkan pengalaman mereka dalam perniagaan kecil-kecilan, yang jika dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dapat membantu membina kemahiran dan keupayaan untuk maju ke dalam usaha niaga yang lebih besar, bukan sahaja berkhidmat kepada BGC tetapi juga syarikat dalam bidang perniagaan lain.
Menurut kenyataan, BGC sebagai sebahagian daripada visi pembangunan keupayaan tempatannya, akan terus menyokong ekosistem i-Usahawan dan menyediakan peluang yang sesuai untuk usahawan tempatan yang baru mula berkembang, untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Pada tahun akan datang, BGC telah mengenal pasti tiga peluang perniagaan tambahan yang akan ditawarkan di bawah program i-Usahawan yang memacu pertumbuhan dan pembangunan selanjutnya dalam bidang keusahawanan dan pembangunan perniagaan tempatan.