Oleh Ak Zaki Kasyaran
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Sempena ulang tahun penubuhannya ke-22, Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong, hari ini.
Majlis yang dianjurkan bersama komiti Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam itu dimulakan dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah diikuti dengan sembahyang sunat Hajat berjemaah dan seterusnya bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Kaunselor Keagamaan BGC, Awang Asril Amin bin Ahmad, sebelum diakhiri dengan sembahyang fardhu Isyak berjemaah.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Urusan BGC, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Pengurus Sumber Tenaga Manusia, Awang Mohd Khairol Amilin bin Haji Maidin, kakitangan BGC, external stakeholder dari pelbagai sektor kerajaan, Brunei Shell Joint Venture (BSJV) Companies dan masyarakat sekitar Kampung Jerudong.
BGC ditubuhkan pada 9 Mac 1998 untuk memenuhi aspirasi negara untuk membina landasan yang kukuh dalam industri maritim dan sejajar dengan matlamat BGC sebagai pembekal pengangkutan gas asli cecair (LNG) yang dipercayai demi memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat di rantau ini.
Syarikat berkenaan telah mencatat perkembangan pesat dalam saiz dan keupayaannya. Kini, syarikat itu mempunyai lebih daripada 300 pekerja tempatan dengan lima kapal armada kelas A yang dimiliki sepenuhnya.
Selain itu, ia juga berhasrat menyokong negara mencapai Wawasan Brunei 2035 untuk melihat kapal BGC dikendalikan oleh anak-anak tempatan.
