BGC tingkatkan kesedaran kesihatan mental

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) hari ini telah mengadakan acara Workplace Wellness Time-Out yang bermatlamat untuk mempromosikan kesedaran mengenai isu-isu kesihatan mental dan menjana sebuah tempat kerja yang mempromosi, menyokong serta memperbaiki kesihatan mental untuk semua kakitangan.

Acara Time-Out berkenaan dibahagikan kepada dua sesi di mana sesi pertama merupakan sesi ceramah yang disampaikan oleh Kaunselor Bertauliah dari Clarity Sdn Bhd, Hajah Norajleen Uminatul Hafizan binti Haji Alimas yang menekankan pentingnya untuk mengenal pasti faktor-faktor stres, mencari saluran yang ada untuk menanganinya dan kaedah untuk menangani stres di tempat kerja.

Di samping itu, ujian Depression, Anxiety & Stress (DAS) juga dikendalikan bagi semua kakitangan yang hadir dan sesi pertama berakhir dengan aktiviti Roda Kehidupan.

Sementara itu, sesi kedua diadakan pada sebelah petang yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong, di mana kakitangan BGC bersama keluarga mereka mengambil bahagian dalam beberapa kegiatan senaman bersantai dan ketenangan fikiran sebagai rawatan yang efektif bagi mengurangkan stres. Kegiatan itu turut disertai oleh Timbalan Pengarah Urusan BGC, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Selain kegiatan senaman, terdapat juga sudut aktiviti yang diadakan untuk menyediakan aktiviti ketenangan fikiran untuk dinikmati oleh kakitangan BGC serta keluarga mereka.

Di samping itu, Pusat Promosi Kesihatan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) turut menyertai aktiviti berkenaan bagi menyediakan maklumat kepada kakitangan BGC dan keluarga mereka mengenai program serta sumber-sumber yang ada untuk menangani masalah kesihatan mental.

Kakitangan Brunei Gas Carriers dan keluarga mereka menyertai senaman taici pada acara Workplace Wellness Time-Out yang mempromosikan kesedaran mengenai isu-isu kesihatan mental pada sesi sebelah petang, kelmarin. – Gambar oleh James Kon
Kakitangan BGC dan keluarga mereka mengambil bahagian aktiviti yang diadakan semasa acara Workplace Wellness Time-Out, kelmarin.