BGSR untuk pencinta alam semula jadi

Oleh Lyna Mohamad

TUTONG, 9 DIS – Bintudoh Green Spring Resort (BGSR) adalah tempat peranginan hutan yang kaya dengan landskap semula jadi dan kecantikan tropika yang menanti untuk diterokai dan di mana pengunjung dapat mendirikan khemah di bawah bintang-bintang atau bermalam di tempat penginapan yang mesra alam dengan dikelilingi alam semula jadi.

Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti rekreasi atau bersiar-siar di sekitar kawasan berkenaan dan menikmati keindahannya. Ia sesuai bagi mereka yang ingin berehat daripada kehidupan bandar yang sibuk dan inginkan udara segar dan pengembaraan.

Kurang daripada sejam pemanduan dari Bandar Seri Begawan, BGSR terletak di Kampung Lamunin, Daerah Tutong. Ia mempunyai pelbagai tarikan dan aktiviti untuk semua pengunjung.

Pengunjung boleh membawa peralatan perkhemahan dan hanya perlu membayar sewa tapak atau boleh menyewa khemah, kotak pendingin dan barangan lain daripada tempat peranginan itu.

Chalet-chalet juga tersedia untuk disewa bagi mereka yang lebih suka tempat penginapan ala kampung.

Antara kemudahan yang terdapat di tempat peranginan berkenaan.
BGSR yang dikelilingi alam semula jadi.

Sejak mula beroperasi pada 1 Mac, tempat peranginan itu biasanya penuh semasa cuti awam dan hujung minggu, dan telah menghoskan 3,500 orang pengunjung.

Ia dijangka menerima lebih ramai pengunjung pada masa depan dengan beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan.

Aktiviti-aktiviti yang tersedia termasuk zipline (flying fox), bot kayuh, balapan berhalangan, meredah hutan dan damak bola sepak.

Manakala itu, aktiviti-aktiviti malam termasuk perkhemahan dengan unggun api, barbeku, memerhatikan bintang, menyaksikan kunang-kunang dan berjalan malam.

Tempat peranginan hutan dengan tapak perkhemahan yang mampu menampung 500 pengunjung dan dikelilingi hutan hujan tropika serta ladang buah itu sesuai bagi pencinta pengembaraan dan alam semula jadi, pekhemah santai, acara-acara pembangunan pasukan, memerhatikan burung, fotografi dan piknik.