Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Persekutuan Bola Baling Brunei Darussalam (BHF) telah meningkatkan lagi persediaan mereka dengan mengadakan sesi latihan pemilihan pasukan kebangsaan bawah-16 (B16) dan B19 bagi bersaing dalam kejohanan-kejohanan besar anjuran Persekutuan Bola Baling Antarabangsa (IHF).
BHF ketika ini menganjurkan beberapa sesi latihan di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, yang diadakan selama dua jam bermula pada pukul 8 hingga 10 pagi setiap Jumaat.
Pemain-pemain remaja digalakkan untuk mengambil bahagian dalam latihan itu ketika persatuan tersebut meningkatkan lagi usaha mereka mencari bakat tempatan untuk dipilih dalam pasukan kumpulan B16 dan B19.
Setakat ini lebih 20 orang peserta terlibat dalam latihan tersebut, meningkat dari 14 orang sebelum ini.
Tujuan skim latihan itu adalah untuk meningkatkan sukan bola baling menjadi sukan popular di negara ini serta mempersiapkan sebuah pasukan untuk menyertai Trofi Persekutuan Antarabangsa Belia dan Junior serta beberapa kejohanan lain yang diadakan IHF tahun depan.
Pasukan perempuan B17 negara telah meraih pingat perak di Trofi Persekutuan Antarabangsa Belia dan Junior Asia bagi Zon 1B tahun ini.