BHP, Vale bayar pampasan AS$5.3 bilion

SYDNEY, 26 Jun – Syarikat perlombongan BHP dan Vale telah mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa awam Brazil untuk membayar pampasan sebanyak AS$5.3 bilion dalam insiden empangan runtuh pada November 2015 yang meragut nyawa 19 orang, lapor agensi berita China Xinhua.

“Di bawah perjanjian ini, kedua-dua syarikat bersetuju mewujudkan satu dana bagi kos pembersihan dan pemulihan serta pampasan bagi kesan akibat keruntuhan amang-amang empangan di Fundao itu,” menurut kenyataan BHP.

Dalam insiden yang dianggap sebagai bencana alam sekitar paling buruk di Brazil itu, beberapa siri kegagalan serta kerosakan dari segi rekaan dan sistem saliran telah menyebabkan Empangan Samarco runtuh.

Empangan pecah telah menjejaskan sebuah kampung berdekatan dan mengorbankan 19 nyawa dalam salah satu bencana alam yang paling buruk di Brazil. BHP dan Vale telah mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa awam Brazil untuk membayar pampasan sebanyak AS$5.3 bilion dalam insiden empangan runtuh tersebut. – AFP

Akibatnya, berlaku gelombang besar yang membawa sisa toksik dan melanda sebahagian kawasan pedalaman Brazil serta memusnahkan beberapa kampung dan menyebabkan ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal. Lebih memburukkan keadaan, kesan sisa toksik ke atas alam sekitar telah mencecah jarak sehingga 600km ke hilir sungai, sebelum akhirnya menuju ke Lautan Atlantik.

Turut berdepan saman sivil yang m nuntut ganti rugi sebanyak AS$41.5 bilion bagi insiden itu, perjanjian tersebut membawa maksud bahawa proses berkenaan akan ditangguh selama dua tahun.

“Dalam tempoh itu, semua pihak akan bekerjasama merangka proses rundingan semula program-program (pemulihan dan pampasan) dan kemajuan untuk penyelesaian tuntutan sivil sebanyak AS$41.5 bilion,” kata kenyataan itu. – Bernama