‘Biar bonda pergi dulu sebelum ayah’

Ucapan Hari Bapa yang dituju khas penyanyi dan pelakon, Elyana Emrizal, 34, kepada suaminya, Khairul Anuar Hussin cukup menyentuh hati dan mengundang sebak di dada.

Dalam ucapan ditulisnya di Instagram itu, Elyana yang kini berjuang penuh semangat melawan kanser limfoma tahap empat dihidapinya berkata dia selalu berdoa biar dirinya ‘pergi duhulu’ menghadap Ilahi sebelum suaminya.

“Bonda selalu berdoa biar bonda ‘pergi dulu’ sebelum ayah. Sebab tak boleh hidup dan tak seronok kalau tidak ada awak. Selamat Hari Bapa.

“Bonda, cinta dan cahaya sayang sangat-sangat dekat ayah (panggilan untuk suami). Kami mesti nak kena ada ayah, sebab ayah adalah adiwira kami,” tulisnya.

Dalam hantaran lain, Elyana turut menitipkan ucapan istimewa dan doa kepada bapanya yang disifatkan sebagai lelaki pertama yang banyak mengajarnya erti hidup dan tabah menghadapi cabaran.

Elyana bersama suami, Khairul Anuar dan anak. – Agensi

“Nana banyak belajar tentang kehidupan daripada papa. Dulu banyak yang Nana tak setuju, tapi sekarang baru Nana faham kenapa papa buat begitu. Nana sayang papa.

“Ya Allah, panjangkanlah umur papa, berikanlah dia kesihatan terbaik, lancarkanlah kehidupannya dan bahagiakanlah dia,” tulisnya sebagai ucapan sempena Hari Bapa.

Elyana kini sudah enam hari berada di hospital sejak 16 Jun lalu kerana menjalani rawatan radioterapi untuk penyakit kanser limfoma dihidapinya sejak 10 tahun. Bagi rawatan itu, dia perlu menjalaninya sebanyak 10 pusingan.

Mempunyai berat badan 35 kilogram, Elyana juga terlebih dulu dibekalkan dengan pek susu yang perlu diambil selama 16 jam dan disertakan juga ubat tambah selera makan bagi membantu dia bertenaga.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan bahawa dia menghidap kanser limfoma itu pada 2017 lalu. Elyana yang bertemu jodoh dengan Khairul Anuar pada 2010 dikurniakan anak perempuan, Cinta Sumayyah, 10, dan seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani kini berusia dua tahun. – Agensi