Biar sunyi tetapi masih punya pendapatan

HARARE, ZIMBABWE – Demi menjalankan tugas untuk meraih hasil pendapatan harian, kita harus melaksanakan pekerjaan kita dengan penuh progresif, efektif, jujur dan kesabaran. Terutama sekali bagi sesetengah kita yang mendapat gaji rendah yang memerlukan kita untuk bekerja lebih kuat dan bertahan dalam memegang sesuatu jawatan.

Namun, sudah menjadi lumrah dunia bagi pekerjaan yang bergaji rendah sering dipandang hina dan malahan ada yang mengejek. Seperti mana pekerjaan sebagai pengawal keselamatan sebagai satu pekerjaan yang tidak begitu dipandang oleh sesetengah orang. Walau bagaimanapun, tanggapan negatif begitu perlu ditepis dan diubah kerana mana-mana pekerjaan tetap mulia dan terdapat bakti yang dapat dicurahkan.

Bekerja sebagai pengawal keselamatan ini memerlukan pengorbanan nyawa dan masa mereka. Hal ini kerana, mereka sanggup mempertaruhkan nyawa mereka demi tugas menjaga keselamatan orang lain dan mengorbankan masa meninggalkan keluarga di rumah.

Itulah nasib pengawal keselamatan di Zimbabwe, yang sering menjadi orang yang diejek dan bergaji rendah, sehinggakan ada yang mengatakan bahawa mereka selalu bercakap dengan mesin tunai yang dijaganya, tidak kisah bahawa ia tidak dapat menjawabnya.

Namun, ketika dunia masih di bawah ancaman COVID-19 ini, mereka menganggap diri mereka sebagai antara beberapa golongan yang bernasib baik kerana masih bertahan dalam pekerjaan mereka apabila kebanyakan aktiviti ekonomi ditutup akibat sekatan yang bermula pada bulan Mac lalu.

Gambar bertarikh 27 April 2020, menunjukkan pengawal keselamatan mempraktikkan penjarakan sosial ketika menjaga di luar premis di Harare, Zimbabwe. – AP
Seorang pengawal keselamatan berehat seketika semasa melakukan pengawasan taman. – AP
Sesetengah pengawal keselamatan tertidur ketika berada di tempat kawalan akibat keletihan kerana mengayuh basikal sehingga 30 kilometer untuk bekerja. – AP
Berikutan dengan kebanyakan aktiviti ekonomi ditutup akibat sekatan yang bermula pada bulan Mac lalu, pengawal keselamatan merupakan antara beberapa golongan yang bernasib baik kerana masih memiliki pekerjaan. – AP

Tetapi ramai yang mengatakan mereka sekarang bimbang mengenai kestabilan mental mereka, kerana kesunyian ketika menjaga kompleks bangunan yang kosong dan menakutkan semakin meruncing.

Menjelang pukul 6 petang, ketika Patrick Runde memulakan syif malamnya, Harare hampir sepi dan selama 12 jam berikutnya dia tidak mempunyai siapa-siapa untuk diajak berbicara. Pada masa lalu dia akan bergantung pada muzik kuat dari kelab malam dan pelanggan yang bising dari premis-premis berhampiran, tetapi sekarang ianya ditutup.

“Kucing dan tikus keluar lebih banyak daripada sebelumnya mencari tong sampah untuk mencari makanan. Haiwan ini telah menjadi kawan saya yang menemani pada waktu malam,” katanya.

“Ini adalah salah satu pekerjaan paling sepi di dunia,” kata Patson Chimire, seorang penjaga di sebuah kompleks membeli-belah di pinggir ibu kota.

“Kami hampir tidak mendengar bunyi lalu lintas atau muzik dari kelab malam. Saya akhirnya bercakap dengan diri sendiri, atau benda seperti ATM,” katanya.

Yang lain hanya tertidur sebaik sahaja berada di pos kawalan, letih kerana mengayuh basikal sehingga 30 kilometer untuk bekerja.

“Orang ramai memerlukan pengawal keselamatan dan kami berada di sana untuk melindungi mereka dan premis mereka. Dengan kebanyakan orang tidak bekerja, pekerjaan kita menjadi lebih penting,” kata Chimire.

Walaupun keletihan dan keseorangan, Chimire mengatakan dia bersyukur dapat bekerja dengan pendapatan yang tetap. Pengangguran meningkat di Zimbabwe, di mana lebih daripada 60 peratus daripada 14 juta orang di negara ini bekerja di sektor tidak rasmi, antaranya menjual barang di jalanan, perdagangan yang dilarang di bawah peraturan perintah sekatan berikutan koronavirus. Sebilangan besar orang berjuang untuk memberi makan kepada keluarga akibat sekatan dan kekurangan pendapatan.

“Banyak orang yang mentertawakan pekerjaan kami,” katanya.

“Sekarang mereka berharap mereka seperti kami.” – Xinhua