Biasiswa RM2.4 juta untuk kaji etnik minoriti Sarawak

KUCHING, 25 OKT – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak memperuntukkan biasiswa Kursi Tok Nan berjumlah RM2.4 juta untuk menjalankan kajian mengenai etnik-etnik minoriti di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kajian yang mengambil masa selama tiga tahun itu juga akan mengetengahkan idea serta aspirasi bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan mengenai kebudayaan, kesenian dan warisan di Sarawak.

“Pada 27 Okt ini sempena Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021, kerajaan negeri akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memulakan kajian itu.

“Kursi ini adalah yang pertamanya dibuat berkenaan dengan Tok Nan dan UPM telah mengusulkan bahawa mereka bersetuju untuk menubuhkan Kursi tersebut dengan tujuan mendalami minat Tok Nan dalam kesenian, kebudayaan dan warisan negeri Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kanan) menerima kunjungan hormat Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, semalam. – Bernama