BIBD adakan mesyuarat agung

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Di samping mencatatkan keuntungan bersih tertinggi bagi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) iaitu lebih daripada $169 juta dan keuntungan bersih bagi Kumpulan BIBD sebanyak kira-kira $116 juta, bank tersebut juga terus menunjukkan komitmen kepada pemegang-pemegang sahamnya dengan pengagihan dividen interim sebanyak $0.125 bagi setiap saham biasa pada 2017.

Ia akan dicampurkan kepada dividen akhir sebanyak $0.051 menjadikan jumlah dividen keseluruhan sebanyak $0.176 bagi setiap saham biasa iaitu sebanyak $127 juta keseluruhannya iaitu peningkatan pulangan dari tahun ke tahun sebanyak 11.5 peratus daripada 7.5 peratus bagi kumpulan berkenaan.

Sehubungan itu, BIBD mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2018 bagi pemegang-pemegang sahamnya untuk meluluskan penyata kewangan bagi tahun yang berakhir pada 31 Disember 2017 yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Kewangan II, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar, ahli-ahli lembaga dan Badan Penasihat Syariah BIBD, pengurusan kanan BIBD serta pegawai-pegawai BIBD.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew dipetik merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pelanggan-pelanggan, pemegang saham dan pihak-pihak yang berkepentingan terhadap BIBD.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan BIBD.
Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BIBD 2018 yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, Bandar Seri Begawan.

Beliau berkata lagi bahawa ia merupakan tahun yang amat bermakna dan penuh dengan pelbagai mercu tanda bagi BIBD dalam usahanya untuk bergerak ke hadapan menjadi bank terunggul Brunei.

Pencapaian yang dicapai, ulasnya lagi, adalah hasil daripada komitmen BIBD kepada pelanggan mereka dan kerjasama yang kukuh dengan pengawal selia mereka dalam usaha BIBD untuk teris memainkan peranannya dalam menyokong usaha negara ke arah mencapai ekonomi yang lebih mantap dan berdaya tahan selaras dengan Wawasan 2035.

Pada masa yang sama, Mubashar Khokhar menyatakan tahniah kepada semua Kumpulan BIBD atas usaha mereka bagi pencapaian yang cemerlang pada tahun berkenaan. Beliau berkata bahawa BIBD amat beruntung kerana mempunyai kumpulan yang bertenaga dan berdedikasi serta sentiasa bersedia untuk menangani segala halangan dalam keadaan pasaran yang mencabar.

Tambahnya, perkembangan dalam perbankan digital telah membolehkan pelanggan mereka untuk mendapatkan penyelesaian perbankan Islam yang terbaik seperti BIBD NEXGEN.

SAHAM
TerdahuluBrunei mara ke final
Seterusnya162 pegawai terima P.K.L