BIBD adaptasi perubahan akibat COVID-19

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Pandemik COVID-19 diisytiharkan sebagai darurat kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam Januari tahun ini dan Negara Brunei Darussalam mengesahkan jangkitan pertamanya tiga bulan kemudian.

Pada mulanya tidak ramai menjangkakan betapa ia akan menjejaskan manusia dan sektor kewangan, sekali gus mengubah dunia korporat yang menyaksikan transformasi pantas.

Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menekankan bahawa ia turut mengambil pendekatan mengadaptasi situasi tidak dijangkakan itu dan dalam masa yang sama mengekalkan operasi, perkhidmatan dan memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan serta pekerjanya terjamin.

Sehubungan dengan itu, antara langkah adaptasi yang diambilnya termasuklah menubuhkan Pasukan Tindakan COVID (CAT) yang terdiri daripada pemimpin pengurusan utama yang memberikan panduan, memudahkan dan menyelaraskan aktiviti seluruh pekerja BIBD.

Pasukan ini menyampaikan kemas kini, panduan melindungi diri dan maklumat lain yang relevan di bawah Pelan Perniagaan Berterusan (BCP) BIBD dengan dasar kerja dari rumah manakala kerja dari pejabat mengamalkan kebersihan dan penjarakan fizikal. Malah, lebih 60,000 peralatan perlindungan diri peribadi (PPE) diperolehi dan diagihkan kepada pekerja bank.

Selain itu, BIBD turut mengadaptasi teknologi dengan menggunakan aplikasi seperti Microsoft Teams bagi mengadakan beberapa siri Lembaga Mesyuarat BIBD, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2020 secara maya, pertama kali AGM diadakan seumpamanya.

Pandemik turut mempercepatkan lagi transaksi tanpa tunai dengan pelancaran Go Cashless! Go Digital BIBD melalui pembayaran digital aplikasi BIBD NEXGEN Wallet dan BizNet dalam usaha mengekalkan penjarakan sosial di seluruh cawangannya.

Menurut kenyataan itu lagi, BIBD turut membantu perusahaan kecil dan sederhana mempermudahkan perniagaan mereka dengan mengaplikasikan pendigitalan dalam perniagaan mereka bagi mencapai pangkalan pelanggan lebih meluas terutamanya melalui pelancaran Community for Brunei, pasaran maya bagi PKS.

Dengan negara kini merekodkan sifar jangkitan hampir tiga bulan kecuali satu kes import baru-baru ini dan beralih ke tahap pelonggaran sekatan yang semakin baik, BIBD terus bersedia untuk menjadi bank pertama disahkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam (PBSM) sebagai Sedia Beroperasi di Tengah-tengah COVID-19 sekali gus memberikan pihak pengurusan, pekerja dan pelanggan pengajaran penting daripada pandemik COVID-19.

Dalam mengadaptasi kepada situasi yang dijangkakan, BIBD telah menubuhkan Pasukan Tindakan COVID untuk memudahkan memberi panduan, memudahkan dan menyelaraskan aktiviti pekerja. – Gambar serahan BIBD