BIBD anjur ceramah sokong keusahawanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Sebagai sebahagian daripada kerjasama dan sokongan Ekspo Souq Al-Qudwah 2.0, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menyampaikan beberapa ceramah semalam kepada usahawan Muallafpreneurs untuk memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan BIBD bertujuan memenuhi keperluan usahawan dan perniagaan kecil serta memberikan taklimat kepada mereka mengenai kepentingan perancangan kewangan Islam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, ceramah yang disampaikan oleh Kumpulan Perbankan Korporat BIBD itu memaparkan platform SME 360; penyelesaian perbankan komprehensif yang melengkapi keperluan perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang termasuk kumpulan pengurusan perhubungan yang berdedikasi, penyelesaian kewangan serta bayaran digital.

Kumpulan pengurusan perhubungan menyediakan akses untuk mendapatkan nasihat perbankan yang bijak dan penyelesaian kewangan yang termasuk modal kerja, harta, pinjaman penyambung, kontrak tawaran atau pemerolehan, kewangan perniagaan dan jaminan.

Selain itu, ceramah ‘Perancangan Kewangan Islam’ telah disampaikan oleh wakil daripada Kumpulan Perbankan Runcit Bank dan BIBD Securities. Sebagai Rakan dalam Kemajuan untuk Brunei, BIBD sentiasa komited terhadap pembangunan PMKS tempatan dan telah melengkapi usaha negara dengan merangsang inisiatif dan program berkaitan PMKS dengan memperkasa mereka dengan penyelesaian perniagaan digital yang komprehensif.

Produk seperti BIBD Biznet, Akaun Semasa PMKS dan BIBD QuickPay telah membantu mengisi jurang dan mempertingkat operasi PMKS, sejajar dengan objektif bank untuk memenuhi keperluan semua PMKS.

Kenyataan menambah BIBD percaya keusahawanan merupakan satu bentuk pemerkasaan yang boleh mengubah negara dan menyokong Wawasan Brunei 2035 untuk mempelbagaikan ekonomi dan menghasilkan aset manusia yang amat mahir. Dengan memperkasa kesemua segmen masyarakat dengan kemahiran usahawan, keusahawanan boleh mewujudkan sifat berdikari, akses kepada peluang dan pilihan serta keupayaan mengubah kehidupan seseorang dan mempengaruhi orang lain untuk melakukannya.

Para usahawan Muallafpreneurs menghadiri salah satu ceramah yang dianjurkan oleh BIBD baru-baru ini. – Gambar serahan BIBD