BIBD anjur Pop Up Market

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Sempena musim cuti persekolahan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) buat julung kalinya telah menganjurkan BIBD Connects Pop Up Market yang berlangsung di BIBD Connects di Kampung Lambak Kanan, Mukim Berakas B, baru-baru ini.

Pop Up Market ini diisikan dengan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak selain mempromosikan BIBD QuickPay yang merupakan sistem pembayaran digital bagi memberi keselesaan kepada pelanggannya.

Selain itu, ia juga dihasratkan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara masyarakat, pengusaha dan perbankan, di mana BIBD Connects Pop Up Market ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat BIBD dalam mempromosi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan secara langsung meningkatkan kemampuan mereka untuk menjadi lebih mantap dan mapan.

Pop Up Market ini disertai lebih 20 orang pengusaha PKS termasuk 12 peserta BIBD SEED yang akan memulakan produk mereka ke dalam pasaran.

Turut diadakan semasa acara tersebut ialah penyampaian sijil kepada peserta BIBD SEED yang telah menamatkan fasa ketiga iaitu Inkubator Produk yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman.

Antara pengusaha PKS yang ikut serta dalam acara yang diadakan di BIBD Connects di Kampung Lambak Kanan, baru-baru ini.

Pada fasa seterusnya, para peserta BIBD SEED akan didedahkan dengan situasi pasaran sebenar sebagai sebahagian daripada pembangunan keusahawanan mereka.

Selain itu, mereka juga akan diterapkan dengan pengetahuan dan pembelajaran dari fasa terdahulu seperti harga, pemasaran, komunikasi, jualan kepada pelanggan dan mempromosikan produk mereka.

Turut hadir pada acara tersebut ialah perwakilan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Pusat Dakwah Islamiah serta rakan strategik BIBD untuk program BIBD SEED.