BIBD Bank Paling Kukuh di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), institusi perbankan terbesar negara, sekali lagi dinamakan Bank Paling Kukuh di Brunei berdasarkan Kunci Kira-kira oleh The Asian Banker (TAB).

Kenyataan yang diterima BIBD, hari ini, mengatakan untuk disenaraikan dalam Bank Paling Kukuh 500 Teratas Asia Pasifik berdasarkan Kunci Kira-kira, BIBD mencatat peningkatan dari ranking sebelumnya, naik 48 tangga dan kekal satu-satunya bank Brunei yang disenaraikan dalam 500 teratas untuk tahun ketiga berturut-turut.

Ranking adalah berdasarkan kad skor yang amat terperinci dan telus yang menilai bank komersial dalam enam bidang prestasi kewangan kunci kira-kira, iaitu keupayaan berdasarkan skala, pertumbuhan kunci kira-kira, profil risiko, keuntungan, kualiti aset dan kecairan.

Tahun ini, pengumuman Bank Paling Kukuh ditunda demi mengumpul semak dan menggabungkan maklumat kewangan 2020 terbaharu dalam penilaian semasa pandemik COVID-19. Oleh yang demikian, ranking tahun ini benar-benar mencerminkan kesan pandemik ke atas prestasi bank apabila ia meletus pada tahun lalu.

Dalam kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, menyatakan rasa gembira dan bangga dengan pengiktirafan yang diterima BIBD sebagai Bank Paling Kukuh di Brunei.

Menurut Yang Berhormat Dato, “Untuk disenaraikan di kalangan bank teratas di Asia Pasifik merupakan satu penghormatan, dan satu kebanggaan untuk bank kerana ia mencerminkan landskap perbankan yang berdaya tahan dalam negara meskipun cabaran yang dihadapi.”

Manakala Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar berkata, “Tidak dinafikan COVID-19 telah mencetuskan cabaran luar biasa. Dari mula lagi, komitmen kami tetap memastikan keperluan pelanggan dipenuhi, aset dilindungi dan kepentingan diselaraskan. Dari segi pengurusan kewangan, bank berjaya memperkukuh kunci kira-kira menerusi strategi bijak dan Alhamdulillah, BIBD kekal berdaya tahan, seperti yang digambarkan dalam kunci kira-kira kami.”

Beliau menambah, “Anugerah ini merupakan pengiktirafan usaha tanpa mengenal penat lelah dari pihak pengurusan, dedikasi kakitangan dan rakyat Brunei Darussalam yang telah menyumbang terhadap pencapaian bank dengan kepercayaan dan sokongan berterusan mereka.”

Anugerah terbaharu diterima susulan pencapaian BIBD baru-baru ini, iaitu Bank Tahun 2020 untuk Brunei daripada The Banker, Bank Paling Selamat di Brunei 2020 oleh Global Finance dan Bank Runcit Terbaik di Brunei 2020 oleh The Asian Banker.

Mubashar Khokhar bergambar bersama pegawai kanan Bank Islam Brunei Darussalam selepas BIBD dinamakan Bank Paling Kukuh di Brunei berdasarkan Kunci Kira-kira oleh The Asian Banker.