Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Syarikat BIBD ingin memberikan amaran kepada orang ramai mengenai dengan penipuan kewangan di mana para penipu menyamar sebagai kakitangan BIBD di media sosial untuk menawarkan pinjaman atas talian (online loans) dan skim kewangan yang tidak berlesen.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, menyatakan para penipu berkenaan menyalahgunakan logo BIBD, imej serta mereka testimoni palsu untuk mendapatkan kepercayaan dan seterusnya menipu mangsa supaya berkongsi maklumat perbankan atau peribadi mereka.
Penipuan seumpama itu mengeksploitasi individu dengan memberikan tawaran kewangan palsu yang menjanjikan kelulusan cepat dan keperluan minimum. Mereka yang menjadi mangsa kepada penipuan berkenaan boleh mengalami kerugian kewangan yang signifikan, pencerobohan ke akaun bank serta maklumat sensitif yang disalahgunakan bagi tujuan jenayah.
BIBD menekankan pentingnya untuk terus berwaspada dan mengesahkan kesahihan mana-mana akaun atau komunikasi yang mendakwa daripada BIBD.
Terlibat dengan perkhidmatan kewangan tanpa berlesen membawa risiko yang serius kerana operasi berkenaan berada di luar perlindungan pegawalseliaan, yang menyebabkan individu terdedah kepada eksploitasi dan penipuan.
Tawaran palsu yang dibuat melalui media sosial terutamanya daripada akaun-akaun tanpa kebenaran direka untuk mengelirukan individu supaya berkongsi maklumat sensitif atau membuat pembayaran di bawah dakwaan palsu.
Dalam hubungan itu, para pelanggan dinasihatkan untuk hanya berurusan dengan institusi yang disahkan dan melalui saluran rasmi untuk melindungi data peribadi dan kewangan mereka.
Ke arah itu, BIBD menasihatkan orang ramai untuk hanya mendapatkan kemudahan kewangan daripada institusi kewangan berlesen oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), menghindari tawaran pinjaman atas talian atau skim kewangan yang dibuat melalui media sosial atau platform tidak rasmi yang lain, mengesahkan bahawa mana-mana komunikasi atau tawaran yang mendakwa daripada BIBD adalah daripada akaun media sosial rasmi BIBD yang ditandakan dengan pengesahan tanda biru di Instagram dan Facebook serta segera melaporkan mana-mana skim kewangan tidak berlesen atau aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa yang relevan.
Orang ramai adalah disarankan untuk terus berwaspada dan melindungi diri mereka daripada penipuan. Sebarang kebimbangan atau bantuan boleh didapati dengan menghubungi BIBF melalui Pusat Panggilan di 2238181.