BIBD buka lebih awal untuk penerima pencen

Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) memaklumkan bahawa semua cawangannya yang sedang beroperasi akan dibuka lebih awal pada 23 dan 26 Ogos ini, khas untuk golongan warga emas dan penerima-penerima pencen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, BIBD akan menyediakan kaunter khas bagi golongan berkenaan, yang akan beroperasi bermula pukul 7:30 pagi hingga 9 pagi.

Manakala itu, perkhidmatan kaunter bagi orang ramai akan beroperasi bermula 9 pagi.

Kenyataan menyatakan bahawa cawangan-cawangan yang sedang beroperasi ialah cawangan ibu pejabat, Kiulap, Serusop, Tanjung Bunut, Tutong, Kuala Belait dan Temburong.

Sementara itu, cawangan Manggis akan beroperasi pada 26 Ogos sahaja, bermula pukul 7:30 pagi hingga 3 petang, di mana kaunter khas bagi golongan warga emas dan penerima pencen akan beroperasi dari pukul 7:30 pagi hingga 9 pagi.

Perkhidmatan kaunter bagi orang ramai akan beroperasi bermula 9 pagi.

Langkah-langkah yang digariskan adalah salah satu inisiatif BIBD untuk memberi laluan kepada golongan warga emas untuk mengunjungi cawangan BIBD dengan selesa pada waktu yang tertentu dan memastikan penjarakan fizikal para pelanggan.

Dalam kenyataan berasingan, BIBD memaklumkan mengenai pengekalan waktu operasi yang disingkatkan dan langkah-langkah kawalan bermula esok hingga 29 Ogos dan akan dikaji semula berdasarkan situasi semasa COVID-19.

Waktu operasi berkenaan adalah dari pukul 9 pagi hingga 3 petang pada Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat.

Cawangan-cawangan yang terlibat adalah cawangan ibu pejabat, Kiulap, Serusop, Mentiri, Tanjung Bunut, Tutong, Kuala Belait, Temburong, BIBD Sekuriti di Kiulap, BIBD At-Tamwil dan BIBD At-Tamwil di Kuala Belait.

Semasa waktu operasi berkenaan, perkhidmatan juruwang dan concierge boleh didapati di cawangan ibu pejabat, Kiulap, Serusop, Tanjung Bunut, Tutong dan Temburong manakala itu, hanya perkhidmatan pengeluaran wang tunai boleh didapati di cawangan Kuala Belait. Seperti yang dinyatakan, cawangan Manggis akan dibuka pada 26 Ogos sahaja dan akan ditutup sehingga 29 Ogos.

Manakala itu, perkhidmatan pembiayaan hanya tersedia dengan janji temu di cawangan ibu pejabat, Kiulap, Serusop, Mentiri, Tanjung Bunut dan Tutong sahaja.

Perkhidmatan Perbankan Korporat dan Perdana Privilege Banking pula hanya disediakan di ibu pejabat, cawangan Kiulap dan Serusop melalui tempahan janji temu dan untuk BIBD Securiti di Kiulap, BIBD At-Tamwil di Beribi dan BIBD At-Tamwil di KB hanya untuk pelanggan yang membuat janji temu saja.

Untuk membuat tempahan janji temu bagi BIBD Securities, Corporate Banking Division atau Perdana Privilege Banking, pelanggan boleh menghubungi pengurus perhubungan.

Bagi perkhidmatan terminal-terminal layan diri seperti ATM, CDM dan mesin deposit cek (CQM) masih kekal termasuk BIBD E-Branches di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Sengkurong, Gadong NEXGEN dan UBD Core NEXGEN.

Perkhidmatan BIBD NEXGEN dan BIBD Merchant masih beroperasi seperti biasa manakala cawangan Seri, Muara, Rimba, Panaga, Seria masih ditutup.

Berdasarkan situasi COVID-19 terkini, BIBD memohon kerjasama pelanggan untuk hanya mengunjungi cawa-ngan bagi keperluan mustahak sahaja. Pelanggan bolehlah menggunakan perkhidmatan BIBD NEXGEN atau menangguhkan keluar rumah dan hanya mengunjungi cawangan apabila selamat untuk berbuat demikian.

Kenyataan menyatakan bahawa BIBD sekali lagi mengingati orang ramai supaya sama-sama melaksanakan tanggungjawab sosial dan sentiasa mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan dalam membendung wabak COVID-19 dan meratakan lengkungan.