BIBD catat keuntungan kukuh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Kumpulan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mencatatkan kunci kira-kira yang kukuh dan keuntungan bersih meningkat sebanyak 5 peratus bagi 2019 kepada $155.4 juta daripada $147.9 juta pada tahun 2018.

Perkara itu diumumkan semasa Kumpulan BIBD mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2020 dalam tinjauan tahun kewangan 2019 yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga pengerusi Lembaga BIBD dan pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat BIBD.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof; wakil yang dipilih dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar.

Menurut kenyataan BIBD, pada 2019, pendapatan tahun penuh institusi kewangan Islam terbesar negara itu juga sebanyak $342.9 juta, kenaikan 5.2 peratus daripada $325.9 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Manakala, jumlah aset kumpulan terus kukuh pada $10.7 bilion pada tahun 2019, dengan peningkatan 6.2 peratus dari $10.1 bilion yang dicatat pada 2018 yang mana ia direkodkan sebagai jumlah aset tertinggi setakat ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai selepas Mesyuarat Agung Tahunan BIBD. – Gambar serahan BIBD

Ini memperkukuhkan lagi kedudukan BIBD sebagai peneraju pasaran di Brunei, dengan penguasaan pasaran yang besar dalam segmen runcit dan korporat.

BIBD juga memperoleh Pulangan Ekuiti (ROE) yang kukuh kepada pemegang sahamnya pada 12.3 peratus iaitu peningkatan pulangan dan nilai kepada pemegang saham.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam kenyataan itu menyuarakan rasa syukur untuk tahun yang luar biasa bagi BIBD, dan semua ini adalah dengan sokongan dan kepercayaan pemegang saham, pelanggan dan semua pihak yang berkepentingan.

BIBD akan terus memperkuat usaha untuk mendorong pertumbuhan ekonomi negara dan memulakan usaha yang boleh membantu mempelbagaikan aliran pendapatan untuk memberikan pulangan yang lebih baik kepada pemegang saham, katanya.

“Kami komited pada visi untuk memacu BIBD ke hadapan sebagai pilihan utama masyarakat Brunei, dan Insya-Allah kami akan terus memberikan sumbangan yang besar kepada pelanggan, pemegang saham, komuniti dan negara kami,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Mubashar Khokhar dalam kenyataan sama mengucapkan tahniah dan turut memuji usaha seluruh Kumpulan BIBD dan percaya bahawa tadbir urus dan strategi BIBD yang padu telah menyumbang kepada kemungkinan memperoleh pulangan yang optimum bagi pelanggan dan pemegang sahamnya.

“BIBD sangat beruntung memiliki pasukan yang berdedikasi dan dinamik.

“Semua pencapaian pada tahun 2019 dikembangkan oleh setiap pekerja yang menyumbang ke arah aspirasi bank untuk mencapai misi utamanya, dan pada masa sama, memperoleh pulangan optimum bagi pemegang saham dan pelanggan.

“Ini merupakan perjalanan yang penuh inspirasi dan saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang berdedikasi dan bersemangat, yang memberikan banyak tenaga positif terhadap usaha untuk mempengaruhi perniagaan dan komuniti di seluruh negara,” katanya lagi.

Dalam mesyuarat itu, para pemegang saham juga meluluskan penyata kewangan untuk tahun berakhir 2019.

Kenyataan itu juga menyatakan BIBD menunjukkan komitmen berterusan kepada pemegang saham dengan mengisytiharkan dividen sebanyak 18.38 sen ($0.1838) sesaham iaitu peningkatan sebanyak 51 peratus dari tahun sebelumnya.

Demi kepentingan keselamatan dan kesihatan pemegang saham, dan juga mematuhi arahan Kementerian Kesihatan, Mesyuarat Agung Tahunan 2020 diadakan melalui kehadiran proksi yang ditentukan.

Pengaturan proksi tersebut adalah bagi memastikan kehadiran fizikal untuk peserta yang diperlukan sahaja tanpa menjejaskan hak pemegang saham untuk mengambil bahagian dan mengundi di mesyuarat itu.