BIBD diiktiraf sedia tangani situasi COVID-19

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menjadi bank pertama di Brunei yang disahkan mempunyai tempat kerja yang bersedia untuk menangani dan bertindak balas terhadap situasi yang berkaitan dengan COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, seramai 10 orang kakitangannya, baru-baru ini, telah menamatkan latihan tentang pengetahuan dan kemahiran untuk bertindak balas terhadap perkara-perkara yang melibatkan situasi COVID-19 di tempat kerja.

Latihan yang diadakan pada 16 Mac lalu dan diselengarakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam itu berobjektif untuk melengkapkan kakitangan BIBD dengan pengetahuan penting dan memastikan kesediaan dalam memberikan tindak balas bantuan kecemasan apabila mengendalikan isu-isu kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar (HSSE) yang berkaitan dengan situasi-situasi COVID-19 di tempat kerja.

Latihan membantu mendidik para peserta tentang pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan keselamatan dan kebersihan tempat kerja serta kesejahteraan kakitangan bank semasa pandemik.

Kenyataan menambah, kakitangan berkenaan juga dilatih tentang cara memantau kegiatan dan pergerakan pekerja BIBD untuk memastikan bank dan pekerjanya mematuhi peraturan dan tadbir urus yang ditetapkan oleh kementerian Kesihatan yang berkaitan dengan COVID-19.

Mubashar Khokhar menerima sijil pengiktirafan daripada Haji Muhammad Suhaimi.
Mubashar Khokhar dan Haji Muhammad Suhaimi bergambar ramai bersama kakitangan BIBD yang mengikuti latihan berkenaan.

Modul bagi latihan berkenaan dibangunkan oleh PBSM di bawah skop Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menerusi Pusat Rujukan Pertolongan Cemas Global (GFARC) di Paris.

Modul-modul berkenaan adalah selaras dengan standard yang disediakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mematuhi fakta-fakta dan prosedur operasi standard Garis Panduan WHO dan GFARC.

Setakat ini, BIBD adalah satu-satunya organisasi daripada industri perbankan di Negara Brunei Darussalam yang diakreditasi oleh PBSM sebagai COVID-19 Workplace Ready dan menerima sijil antarabangsa.

Majlis penyampaian sijil berkenaan telah berlangsung di Ibu Pejabat BIBD di sini, hari ini di mana hadir menyampaikan sijil kepada seramai 10 orang kakitangan bank berkenaan ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar yang juga selaku wakil menerima sijil pengiktirafan daripada Presiden PBSM, Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman serta pegawai dan kakitangan dari BIBD dan PBSM.