BIBD dinamakan Bank Brunei Tahun 2020

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), institusi kewangan Islam terbesar negara, telah dinamakan Bank Brunei Tahun 2020 oleh Frost & Sullivan, syarikat perkongsian pertumbuhan dengan lebih 50 tahun pengalaman dalam membangunkan strategi pertumbuhan untuk perniagaan membangun dan pertubuhan sektor awam.

Dalam kenyataan yang diterima, BIBD berkata anugerah terbaharu ini diperoleh selepas bank dinamakan Bank Runcit Terbaik di Brunei untuk kali kelapan berturut-turut oleh The Asian Banker, serta Bank Islam Terbaik di Brunei oleh majalah Global Finance.

Menurut Naib Presiden Kanan di Frost & Sullivan, Sanjay Sing, BIBD memperoleh anugerah Bank Brunei Tahun 2020 berdasarkan prestasi keseluruhannya yang kukuh. Penerima anugerah dikenal pasti berdasarkan temu bual terperinci, analisis dan penyelidikan ekstensif oleh penganalisis Frost & Sullivan. Syarikat-syarikat biasanya dikaji berdasarkan pendapatan mereka, bahagian pasaran, keupayaan dan sumbangan keseluruhan kepada industri.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokar berkata, “Alhamdulillah, anugerah ini membuktikan sokongan teguh daripada kerajaan, dedikasi stakeholder dan pengawal selia kami yang berterusan serta kepercayaan pelanggan terhadap kami sebagai rakan dalam kemajuan negara.

“BIBD sentiasa komited untuk menyumbang dan menyokong Brunei Darussalam dan rakyatnya. Insya Allah, kami akan terus berkembang berdasarkan kejayaan ini tatkala kami berusaha memantapkan kedudukan kami sebagai Bank Islam Terbaik di Asia Pasifik.”

Dalam usaha mereka untuk memenangi anugerah itu, Frost & Sullivan menganalisis beberapa kriteria utama, seperti pengalaman pemilikan pelanggan, memenuhi keperluan yang belum dicapai, prestasi kewangan, pembelian pelanggan dan pengalaman perkhidmatan, strategi Blue Ocean, pelaksanaan amalan terbak serta ekuiti jenama.