Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD dinobat Bank Terkukuh Brunei 2024

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Setelah menjalani analisis mendalam mengenai prestasi kewangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) oleh The Asian Banker, BIBD telah dianugerahkan gelaran sebagai Bank Terkukuh di Brunei untuk tahun 2024.

    Pengiktirafan itu menekankan mengenai asas kewangan yang kukuh dan keupayaan BIBD untuk mengekalkan kekuatannya dan ketahanan, walaupun dalam landskap ekonomi yang mencabar.

    Menurut kenyataan BIBD, majlis penganugerahan yang diadakan di Beijing, China, dihadiri oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri untuk menerima anugerah berkenaan.

    Menurut Awang Junaidi, pengiktirafan sebagai bank terkukuh di Brunei mencerminkan komitmen BIBD terhadap ketahanan kewangan dan pertumbuhan yang mampan. Beliau sangat berterima kasih kepada pelanggan BIBD, dedikasi kakitangan yang berterusan dan sokongan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah memainkan peranan penting dalam membolehkan BIBD mencapai pencapaian itu.

    “Anugerah ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan kami dan memperkukuh sektor kewangan Brunei,” tambah Awang Junaidi.

    Awang Junaidi bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kanan BIBD dan The Asian Banker setelah menerima anugerah Bank Terkuat di Brunei. – GAMBAR SERAHAN BIBD

    Penilaian The Asian Banker, berdasarkan analisis menyeluruh terhadap metrik kewangan, menyoroti pertumbuhan berterusan BIBD sebagai bank terbesar di Brunei. Bank itu menunjukkan asas deposit yang stabil dan mengekalkan kedudukan yang kukuh. Tahap modal BIBD mencerminkan amalan pengurusan yang baik, yang lebih mengukuhkan kekuatan kewangannya.

    Sementara itu, The Asian Banker mengakui bahawa tahun 2023 adalah cabaran besar bagi bank-bank di seluruh dunia, yang ditandai dengan ketidakpastian ekonomi dan ketegangan geopolitik yang berterusan. Walaupun dalam keadaan itu, bank-bank yang telah masuk ke dalam senarai Global 1,000 The Asian Banker sebagai bank terbesar dan terkuat telah menunjukkan ketahanan yang luar biasa.

    Menyentuh mengenai dengan bank-bank di 99 negara, penilaian menyeluruh The Asian Banker merangkumi 1,000 bank teratas di seluruh dunia, menilai data kewangan dan tadbir urus dengan teliti. Adalah penting untuk diperhatikan bahawa BIBD merupakan satu-satunya bank dari Brunei yang mencapai kedudukan berprestij itu, menegaskan pengurusan kewangan yang baik dan amalan tadbir urus yang kukuh.

    Prestasi kewangan BIBD, tadbir urus korporat yang kuat dan pengurusan risiko yang baik adalah hasil langsung daripada usaha tanpa henti pasukan pengurusan, kerja keras dan dedikasi kakitangan, serta panduan strategik yang diberikan oleh Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah.

    Bank tersebut juga menghargai sokongan dan kepercayaan yang penting daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, pemegang saham, dan pengawal selia, yang mana sokongan berterusan mereka yang tidak berbelah bahagi telah memainkan peranan penting dalam membolehkan BIBD mengekalkan kedudukan kepimpinannya dalam sektor perbankan.

    Memfokuskan kepada BIBD, pengurusan risiko yang baik terbukti melalui peningkatan ketara dalam kualiti aset, yang mengatasi purata industri. Perancangan strategik bank juga menghasilkan pulangan yang kukuh, menandakan komitmen berterusan terhadap kestabilan dan pertumbuhan kewangan.

    Kedudukan 1,000 Bank Terkuat Global The Asian Banker menggunakan skor penilaian yang ketat untuk menilai bank-bank berdasarkan enam dimensi utama iaitu kualiti aset, keuntungan, profil risiko, kecairan, skala dan pertumbuhan penyata kewangan.

    Skor itu merangkumi indikasi kewangan terperinci seperti Nisbah Kasar Pembiayaan Tidak Berfungsi , Pulangan Ke Atas Aset, Pertumbuhan Untung Operasi, Nisbah Kecukupan Modal (CAR), Nisbah Pembiayaan kepada Deposit dan Nisbah Perlindungan Kecairan.

    Penilaian yang berasaskan data itu memastikan bahawa hanya bank-bank yang paling tahan dan ditadbir dengan baik yang diiktiraf, menonjolkan kekuatan kewangan dan tadbir urus yang baik, di mana BIBD sebagai satu-satunya bank dari Brunei yang tersenarai dalam 1,000 teratas.

    The Asian Banker menyatakan bahawa keputusan kewangan itu mencerminkan pendekatan disiplin BIBD dalam mengekalkan kestabilan dan pertumbuhan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda