Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD),sebuah institusi kewangan Islam terbesar di Brunei Darussalam sekali lagi diiktiraf sebagai Bank Runcit Terbaik di Brunei oleh The Asian Banker, sebuah perkhidmatan kewangan, penyelidikan, penanda aras dan intelligence consultancy.
Hadir menerima anugerah yang diadakan di The Empire Hotel & Country Club bagi pihak BIBD ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar dan Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Editor Urusan The Asian Banker, Foo Boon Ping. Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai kanan kerajaan, syarikat bersekutu bank dan rakan kongsi serta pihak berkepentingan.
Pencapaian tersebut merupakan pengiktirafan tahun ke-7 berturut-turut yang diraih oleh bank berkenaan, sekali gus memantapkan lagi kedudukan BIBD sebagai bank Islam yang terkuat di Asia Tenggara dan salah sebuah bank terkuat di Asia Pasifik melalui kunci kira-kira (Balance Sheet).
Ukuran aset bank pada Anugerah The Asian Banker 2018 berada pada $10 bilion. Anugerah itu juga mencerminkan komitmen BIBD yang konsisten untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang unik melalui penyediaan infrastruktur terkemuka industri, produk dan perkhidmatan.
Menurut The Asian Banker, BIBD turut mendapat pujian dalam beberapa pencapaian dan inisiatif termasuk memantapkan kedudukannya sebagai pemimpin perkhidmatan perbankan runcit teras dan kemasukan kewangan.
BIBD juga diiktiraf kerana pengenalan BIBD Aspirasi pada akhir tahun lalu, program pelaburan unik yang membolehkan pelanggan memperoleh dividen yang menarik dan mempunyai peluang untuk menjadi pemenang bulanan, suku dan hadiah utama yang menarik.
Cadangan yang menarik telah dilancarkan untuk menyokong objektif kebangsaan dan AMBD menggalakkan budaya simpanan dan pengurusan kewangan secara berhemat bagi masyarakat Brunei.
Mubashar Khokhar berkata, “Walaupun menghadapi cabaran dalam persekitaran pasaran, segmen perniagaan runcit BIBD terus dilaksanakan dengan cemerlang dan ini telah memberi ganjaran kepada kami dengan pengiktirafan menjadi Bank Runcit Terbaik di Brunei selama tujuh tahun berturut-turut.”