BIBD kekalkan rating A-

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mempertahankan rating A- sejak 2015 apabila agensi rating kredit antarabangsa terkemuka, S&P Global mengesahkan rating A- dengan outlook stabil untuk bank berkenaan tahun ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, di sini, rating itu meletakkan bank berkenaan setanding dengan bank-bank terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Kenyataan menyatakan, menurut S&P Global, rating itu mencerminkan rekod prestasi mantap dan pemodalan kukuh BIBD, pada masa yang sama juga mengiktiraf pengurusan modal yang berhemah.

Laporan itu turut mengambil kira kedudukan kunci kira-kira luaran dan fiskal Negara Brunei Darussalam kukuh selama bertahun-tahun dan ramalan pertumbuhan ekonomi semakin pantas dalam tahun akan datang disokong oleh harga minyak yang lebih kuat dan pemulihan permintaan luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi BIBD dipetik melahirkan kesyukuran dan rasa berbesar hati dengan pengesahan berprestij itu, lebih-lebih lagi dalam berdepan dengan cabaran pada tahun lalu.

“Walaupun dengan ancaman COVID-19, Negara Brunei Darussalam dapat mengekalkan kedudukan fiskal yang agak kukuh dan stabil, dan BIBD telah memperolehi manfaat daripada cabaran ini dan ia terbukti dalam penilaian S&P tersebut. Pihak bank telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu sehingga dapat terus memberi khidmat kepada pemegang saham, pelanggan kami dan masyarakat di seluruh negara,” ujarnya lagi.

Menurut S&P Global, outlook stabil diberikan kepada BIBD menggambarkan jangkaan mereka bahawa pihak bank akan mengekalkan kepentingan sistematik yang tinggi di negara ini dan profil kewangan bank akan terus mantap, tambah kenyataan.

Mengulas mengenai rating tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar menyatakan bahawa rating kali ini lebih bermakna di tengah-tengah penularan COVID-19.

“Kami rasa berbesar hati kerana diiktiraf bagi keupayaan kuat kami berdasarkan tanda aras antarabangsa,” tambah beliau.