BIBD kemas kini waktu operasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengemas kini waktu operasi cawangan-cawangannya yang berkuat kuasa esok (6 September) hingga 10 September depan selaras dengan langkah-langkah kawalan COVID-19.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, BIBD menyatakan bahawa waktu operasi cawangan sepanjang tempoh berkenaan adalah dari pukul 9 pagi hingga 3 petang Isnin hingga Khamis, dan 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat, manakala itu, kesemua cawangan akan ditutup pada Sabtu dan Ahad.

Cawangan-cawangan BIBD yang akan beroperasi dalam tempoh berkenaan ialah cawangan ibu pejabat, Temburong, Tanjung Bunut, Tutong, Kiulap, Manggis, Serusop, Mentiri dan Kuala Belait.

Sementara itu, cawangan Rimba akan ditutup bermula esok hingga 8 September dan beroperasi semula pada 9 September.

Kenyataan menambah, BIBD Securities di Kiulap, BIBD At-Tamwil di Beribi dan BIBD At-Tamwil di Kuala Belait juga akan beroperasi.

Semua perkhidmatan juruwang (pengeluaran, deposit dan kiriman wang) akan tersedia di cawangan yang beroperasi kecuali cawangan Kuala Belait yang hanya memberikan perkhidmatan pengeluaran tunai.

Manakala itu, cawangan Serusop hanya akan menawarkan perkhidmatan pengeluaran tunai pada 6 September dan perkhidmatan juruwang penuh akan tersedia bermula 7 hingga 10 September.