Thursday, September 29, 2022
22.6 C
Brunei

BIBD komited bangunkan ekonomi mampan

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengumumkan sasaran komitmen $2 bilion ke arah pembiayaan mampan menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja Kemapanan (SF) kumpulan berkenaan.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua selaku Pengerusi BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN (ABIS) 2021, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, kemapanan yang juga berakar pada Maqasid Shariah adalah nilai asas utama yang akan menentukan dan membentuk masa hadapan kita.

“Dengan pergerakan global dan peningkatan kesedaran bagi peralihan kepada sebuah ekonomi mampan, BIBD berusaha untuk menjadi pemangkin perubahan dengan menjadi sebuah pernia-gaan bertanggungjawab yang berusaha secara aktif menjadikan dunia sebuah kawasan yang lebih baik dan hijau,” ujarnya.

Menerusi komitmen sasaran dan rangka kerja kemapanan bank itu, tambah beliau, BIBD berhasrat untuk menerajui aktiviti dan amalan perniagaan dalam pasaran domestik dengan mempromosikan pengawasan di kalangan korporat Brunei, menyokong menerusi pendigitalan, pembiayaan secara mampan, pendidikan komuniti serta penglibatan sosial oleh BIBD.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mengumumkan sasaran komitmen BIBD ke arah pembiayaan mampan menjelang 2030 semasa ABIS 2021 yang berlangsung secara maya, kelmarin. – Gambar serahan BIBD

Beliau menambah bahawa Negara Brunei Darussalam merupakan salah sebuah negara penandatangan Agenda UN 2030, oleh itu, BIBD sebagai institusi kewangan terbesar di Brunei, berharap untuk memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kemapanan negara selaras dengan peranannya sebagai rakan kongsi dalam pembangunan.

Yang Berhormat Dato menambah dengan menanamkan kemapanan ke dalam perniagaan, mereka akan dapat menjadi sebuah institusi kewangan mampan bagi masa hadapan yang akan memperkasakan negara dalam pemulihannya daripada COVID-19.

Rangka Kerja Kemapanan BIBD menandakan keputusan strategik dan tumpuan jelas bank berkenaan kepada menyokong komitmen yang lebih meluas ke atas kemampanan iaitu bukan sahaja menyokong pihak kerajaan tetapi juga sektor swasta.

Bank berkenaan juga telah bekerja dengan pihak-pihak yang berkepentingan utama seperti Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei dan Sekretariat Wawasan Brunei 2035 di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada pendekatan seluruh negara.

Rangka kerja itu akan diintegrasikan ke dalam strategi perniagaan keseluruhan BIBD melalui tiga tunggak iaitu Perlindungan Alam Sekitar, Keusahawanan Bertanggungjawab dan Impak Sosial Inklusif.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar berkata, sebagai sebuah rakan kongsi dalam pembangunan bagi Brunei, BIBD sentiasa secara aktif menyokong kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai aspirasi kebangsaan negara bagi membangunkan sebuah ekonomi yang mampan dan dinamik.

Beliau menerangkan bahawa Rangka Kerja Kemapanan BIBD adalah disejajarkan antara Maqasid Shariah iaitu nilai dan prinsip asas yang membentuk BIBD sebagai sebuah institusi kewangan Islam serta prinsip-prinsip kemapanan yang lebih meluas iaitu 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN SDGs).

Beliau menambah, menyokong prinsip-prinsip itu terjalin secara mendalam dengan DNA Bruneian At Heart, yang bermatlamat untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan masyarakat negara.

Walaupun BIBD sentiasa menyokong kemapanan dan UN SDGs menerusi inisiatif-inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya yang dapat disaksikan melalui program-program seperti BIBD ALAF, Community for Brunei, BIBD SEED dan BIBD Connects, namun sekarang, bank itu sedang secara aktif berusaha untuk menanamkan prinsip-prinsip berkenaan ke dalam amalan-amalan perniagaannya.

BIBD Asset Management, baru-baru ini, menjadi insitusi kewangan pertama di Brunei untuk menjadi salah satu penandatangan United Nations Principles of Responsible Investing, di mana ia menandakan langkah pertama dalam banyak lagi langkah yang akan diambil oleh Kumpulan BIBD dalam perjalanannya menuju ke arah masa hadapan yang lebih mampan bagi negara.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Jepun beri penghormatan kepada Abe

TOKYO, 27 SEPT – Rakyat Jepun dan perwakilan asing memberikan penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri Shinzo Abe pada majlis pengebumian negara mengundang kontroversi...

Dibunuh hanya kerana salah eja

- Advertisment -