BIBD komited pacu usaha pendigitalan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sentiasa komited dalam memainkan peranan untuk memacu usaha pendigitalan di negara ini dan akan terus melaksanakan inisiatif untuk memastikan kesediaan digital dalam kalangan masyarakat dan negara.

Perkara berkenaan diketengahkan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan 1 BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman semasa sesi Coffee and Conversation in the HIRED Lounge, yang merupakan acara sampingan Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN (ABIS) 2021, hari ini.

Hajah Noraini dipetik menyatakan bahawa dengan kemunculan Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4.0) dan usaha Brunei ke arah menjadi Negara Pintar, BIBD komited untuk memastikan tenaga kerja mereka bersedia dan mampu menghadapi perubahan yang akan dibawakan oleh trend global dan tempatan yang menarik ini.

Untuk itu, BIBD telah memulakan kumpulan transformasi dalaman untuk memastikan pekerjanya dilengkapi dengan kemahiran dan kecekapan digital yang diperlukan untuk berkembang maju dalam revolusi digital seterusnya.

“Dalam kumpulan transformasi itu, kami telah mewujudkan akademi digital iaitu ditugaskan kepada Bahagian Sumber Manusia dan Modal Insan untuk melatih tenaga kerja kami bagi meningkatkan kemahiran dan melatih semula mereka.

Hajah Noraini semasa sesi Coffee and Conversation in the HIRED Lounge itu- Gambar serahan BIBD

“Pekerjaan yang pernah dijalankan secara manual pada masa lalu mungkin dilakukan secara digital. Jadi ini adalah untuk memastikan kakitangan kami yang sama ada bekerja secara langsung atau tidak langsung dengan teknologi akan dapat melaksanakan tugas mereka dan membuat keputusan tepat pada masanya,” jelas Hajah Noraini.

Dari segi perniagaan, BIBD telah menyediakan perkhidmatan digital melalui BIBD NEXGEN Wallet dan pada masa ini terdapat beberapa peningkatan baharu dalam perancangan yang akan memberikan pelanggan dalam semua segmen dengan akses kepada produk dan perkhidmatan, tambahnya.

“Untuk membantu mempercepatkan proses penggunaan perkhidmatan digital dengan mengambil kira kumpulan umur yang ada daripada segmen pelanggan, kami mempunyai kakitangan yang ditugaskan di cawangan yang dikenali sebagai Duta Perkhidmatan Pelanggan Digital yang akan membantu pelanggan dalam membiasakan diri dan akhirnya memastikan pelanggan membuat transaksi secara digital melalui aplikasi perbankan mudah alih kami,” katanya.

Melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), BIBD juga telah menggabungkan banyak pengalaman digital merentasi yang berbeza di kawasan-kawasan tertentu.

Beliau menegaskan, sebagai rakan dalam pembangunan, BIBD komited untuk mengambil pendekatan seluruh negara dalam memastikan keterangkuman merentas semua segmen masyarakat melalui pelaburan berterusan dalam inisiatif CSR.