BIBD komited terajui inisiatif lestari

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) komited menerajui laluan ke arah masa hadapan lebih mapan melalui amalan perbankan dan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bagi impak sosial positif.

Elemen-elemen itu membentuk inti pendekatan BIBD kepada kelestarian, dibimbing oleh Maqasid Shariah dan akhirnya bermatlamat untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG PBB).

Sehubungan itu, pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Brunei dan Muara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi BIBD, menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pelbagai inisiatif perniagaan dan program CSR sejajar dengan SDG PBB.

Ia termasuklah tiada kemiskinan, tiada kelaparan, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan, industri, inovasi dan infrastruktur, penggunaan bertanggungjawab dan penghasilan, tindakan iklim serta kerjasama. Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata dengan pergerakan global dan peningkatan kesedaran mengenai kehidupan lestari, BIBD berusaha menjadi pemangkin perubahan dengan menjadi sebuah perniagaan mampan yang secara aktif bekerja untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik dan hijau.

Sebagai sebuah institusi kewangan Islam, ulasnya lagi, BIBD bersedia untuk menyumbang ke arah menegakkan Maqasid Syariah dan menyokong matlamat SDG PBB yang juga sejajar dengan mencapai Wawasan Brunei 2035.

Bermula pada 2020, BIBD telah mula untuk mengurangkan bahan cetakan dan risalah serta berikrar untuk menggunakan kaedah digital jika boleh. Kalendar dan buku nota yang dikeluarkan oleh bank berkenaan serta peket perayaan Hari Raya, semuanya dicetak atas kertas yang dikitar semula dengan tong kitar semula disediakan di cawangan tertentu pada hujung musim perayaan untuk menggalakkan orang ramai mengitar semula bahan-bahan berkenaan. Bank itu juga berikrar untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dengan menggantikan semua botol air plastik di setiap tingkat dalam Ibu Pejabat BIBD dengan botol gelas yang boleh digunakan semula serta mengambil bahagian dalam inisiatif seluruh negara, Julai Bebas Plastik.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar berkata pemerkasaan belia dan pendidikan merupakan elemen utama kelestarian di mana BIBD akan terus menyokong inisiatif-inisiatif diterajui belia yang bermatlamat untuk mencapai matlamat kebangsaan seperti Protokol Hijau Brunei, Wawasan Brunei 2035 dan isu-isu global dalam SDG PBB.

Bergerak ke hadapan, BIBD berikrar bekerjasama dengan masyarakat ke arah masa hadapan lebih mampan dengan sembilan matlamat utama SDG PBB diselaraskan dengan amalan perbankan dan aktiviti CSR BIBD.

Baginda Sultan berkenan melancarkan inisiatif perniagaan BIBD pada pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Brunei dan Muara kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani