BIBD, KOTIBA serah zakat lebih $3 juta

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), hari ini, telah menerima zakat berjumlah $3,214,942.17 daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA (KOTIBA) pada majlis yang berlangsung di di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Zakat-zakat berkenaan telah diterima Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang di-pertua MUIB.

Majlis menyaksikan BIBD menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah $1,743,501.16, zakat wang simpanan pelanggan BIBD sebanyak $848,297.84 (kutipan dari 23 Mei 2019 hingga 14 Mei 2020) dan zakat emas milik BIBD bagi tahun 2019 berjumlah $18,162.35.

Zakat-zakat berkenaan diserahkan oleh Penolong Mufti Kerajaan (Buhuts), Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof selaku pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD.

Sementara itu, KOTIBA telah menyerahkan zakat perniagaan tertunggak bagi tahun kebelakangan berjumlah $550,861.07 dan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2018 berjumlah $54,119.75 yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KOTIBA, Haji Omar bin Haji Mohd Tahir.

Turut hadir pada majlis penyerahan zakat tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang; Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop; Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman; Penasihat Ahli Lembaga Pengarah KOTIBA, Haji Gharif bin Datu Seri Laila Haji Samat; Ahli Lembaga Pengarah KOTIBA, Dato Seri Setia Haji Adam bin Haji Ahmad dan pegawai-pegawai dari MUIB, BIBD dan ahli-ahli Lembaga Pengarah KOTIBA.

Wang zakat yang diterima itu akan diagih-agihkan kepada asnaf zakat yang berhak di negara ini yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin, mualaf, amil, al-gharimin dan ibnu sabil.

Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD ketika menyerahkan zakat kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menerima serahan zakat daripada KOTIBA.