BIBD kukuhkan kedudukan di rantau asia pasifik

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – S&P Global telah memberikan rating A- kepada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), rating sama yang dipegang bank berkenaan sejak 2015, dan kini meletakkan BIBD setanding dengan bank-bank utama lain di rantau Asia Pasifik.

Menurut agensi rating kredit antarabangsa terkemuka itu, rating berkenaan menggambarkan kedudukan kuat BIBD dalam pasaran dan pempelbagaian perniagaan di Brunei disertakan dengan pemodalan yang sangat kukuh.

S&P juga mengambil kira pangkalan deposit BIBD yang pelbagai dengan kecairan kukuh, menyatakan bahawa bank berkenaan merupakan benefisiari flight to quality semasa pandemik COVID-19, menggambarkan statusnya sebagai bank terbesar di negara ini, jelas BIBD lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Menurut kenyataan itu lagi, di samping menerima rating berkenaan daripada S&P, BIBD juga telah diiktiraf sebagai Bank Diuruskan Terbaik di Brunei oleh The Asian Banker serta Bank Runcit Terbaik buat tahun kelapan berturut-turut.

Pencapaian ini, tambah kenyataan, membuktikan bahawa BIBD adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk mengembangkan sektor kewangan Brunei dan menggambarkan keupayaannya untuk setanding dengan beberapa bank terbaik di rantau ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi kedua yang juga Pengerusi BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dipetik menyatakan bahawa pengesahan berkenaan menekankan keupayaan kukuh bank berdasarkan tanda aras antarabangsa dan menggambarkan aspirasi BIBD untuk menjadi bank Islam terbaik di rantau Asia Pasifik.

Menurut S&P, pandangan stabil mereka terhadap BIBD menggambarkan jangkaan mereka bahawa BIBD akan mengekalkan kepentingan bersistematiknya yang tinggi di Brunei dan bahawa profil kewangan bank akan terus mantap.

Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar pula mengulas bahawa rating kali ini lebih bermakna dalam persekitaran COVID-19, di mana rating kebanyakan institusi kewangan telah terjejas teruk.

“Ini merupakan satu bukti terhadap sokongan kukuh pelanggan danpihak berkepentingan kepada BIBD sebagai institusi kewangan Islam terkemuka.

“Ini juga tidak akan mungkin tanpa sokongan kuat dan bimbingan daripada ahli-ahli lembaga pengarah dan Badan Penasihat Syariah serta komitmen daripada pasukan pengurusan dan kakitangan bank,” tambah beliau.