BIBD labur $10 Juta untuk modal insan

Gambar oleh BIBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Sebagai sebuah bank terbesar di negara ini, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah meletakkan penekanan dalam pelaburan modal insan ke arah menjana bakat-bakat berkemahiran tinggi bagi Brunei Darussalam untuk menyumbang ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Dengan lebih 900 kakitangan pada masa ini, BIBD dalam kenyataannya hari ini menyatakan telah memperuntukkan hampir $10 juta ke arah pembangunan modal insannya, dengan menekankan kemahiran baharu dan menyediakan tenaga kerjanya untuk kerja masa depan, terutamanya dengan kemunculan Revolusi Industri ke-4 atau IR4.0.

Dari segi pembinaan kapasiti keseluruhan, BIBD komited ke arah pembangunan kakitangan menerusi pelbagai strategi dan rangka kerja yang dihasratkan untuk menghasilkan golongan pemimpin tempatan yang disokong dengan tenaga kerja berkualiti tinggi.

Tambah kenyataan itu lagi, peningkatan setahun ke setahun dalam keseluruhan bajet pembelajaran dan pembangunan bank mencerminkan luasnya komitmen BIBD dalam memastikan semua kakitangannya memiliki akses mencukupi dalam peluang latihan dan pembangunan.

Pendekatan ini telah membuahkan hasil signifikan yang BIBD hasratkan untuk setiap kakitangan mengikuti satu program pembelajaran setiap tahun, dengan Oktober lalu, BIBD telah mencapai lebih 3,000 hari pembelajaran melibatkan 3,280 peserta keseluruhannya.
Dengan program-program latihan dan pensijilan dari institusi ulung tempatan dan antarabangsa, pada masa ini lebih 200 kakitangan telah menerima sijil dan kelayakan profesional.

Sebagai institusi kewangan Islam utama di negara ini, BIBD juga komited untuk membangunkan kecekapan kewangan Islam, mempertingkatkan budaya patuh syariah bank bagi memastikan kakitangannya dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan Islam.

Setakat ini, BIBD mempunyai 20 kakitangan berkelayakan dalam pengurusan harta kewangan Islam dan 66 kakitangan dalam perancangan kewangan Islam, membolehkan bank untuk menyampaikan perkhidmatan cekap dan mahir kepada klien-klien.

Pada 2019, dua kakitangan BIBD telah menghadiri Durham Islamic Financial Summer School yang berprestij, yang dihasratkan untuk memberikan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran dalam sektor kewangan Islam.

Selain itu, BIBD juga menyediakan peluang latihan dalam bidang-bidang seperti pematuhan, syariah dan teknologi maklumat (IT) dan sebagainya untuk memastikan pelbagai kemahiran kalangan kakitangan bank.

Tahun ini, hampir $200,000 telah dilaburkan bagi memperkukuhkan kemahiran-kemahiran yang menumpu pada program kepimpinan dan pembangunan serta pensijilan seperti Certified Anti-Money Laundering Specialist, Program Profesional Fiqh Muamalat, Profesional Pengurusan Projek, HR Certified Professional Trainers dan COBIT5 Foundations and Assessor programmes.

Keseluruhannya, bank itu telah menghantar lebih 200 kakitangan untuk memiliki kelayakan profesional dalam pelbagai bidang.

Untuk memperkasa kakitangan dan membolehkan mereka menggalas tanggungjawab sendiri dan pertumbuhan serta perkembangan profesional, BIBD baru-baru ini telah menambah baik Program Bantuan Pembelajaran Kakitangannya untuk menyalurkan bantuan kewangan bagi kakitangan sepenuh masa dan subsidiarinya ke arah menyempurnakan program-program pendidikan dan kelayakan profesional, sama ada tempatan mahupun luar negara.

Ketika ini, dua kakitangannya telah melanjutkan pengajian dalam Program Executive MBA di London Business School serta program sarjana di Universiti Teknologi Brunei di bawah program tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar atas) selaku pengerusi bagi Lembaga Pengarah BIBD dalam kenyataan itu menyatakan, “Dalam Laporan Persaingan Global Forum Ekonomi Sedunia, Brunei Darussalam pada masa ini berada di tangga ke-46 daripada 137 buah negara, mengenal pasti keperluan asas menyumbang kepada keseluruhan daya saing dengan pendidikan tinggi dan latihan dikenali pasti sebagai salah satu penambah baik keefisienan utama.

Oleh itu, usaha BIBD dalam membangun modal insannya adalah sebagai sebahagian daripada misi untuk mewujudkan golongan profesional bertaraf dunia yang akan mempertingkatkan persaingan ekonomi negara dan menyokong Wawasan Brunei 2035.

Ketika BIBD berusaha untuk menempatkan dirinya sebagai bank Islam terbaik di Asia Pasifik, bank itu percaya asas kepada kejayaan dan masa depan negara bergantung sepenuhnya kepada kualiti dan keefisienan penduduknya dan akan terus melabur dan meraikan tenaga kerja cemerlangnya.