BIBD laksana langkah pencegahan COVID-19

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Berikutan perkembangan situasi COVID-19 dalam negara, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah melaksanakan beberapa langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua pelanggan, kakitangan serta orang awam.

Dalam satu kenyataan yang diterima, BIBD mengatakan langkah-langkah yang telah dilaksanakan termasuk mensanitasi premis, tempat kerja dan permukaan tempat kerja termasuk kawasan orang awam.

Terminal perkhidmatan layan diri termasuk ATM, Mesin Deposit Tunai (CDM) dan Mesin Deposit Cek (CQM) juga disanitasi dan disinfektan di cawangan yang mempunyai penggunaan tinggi. Semua cawangan BIBD juga disanitasi secara kerap.

Pensanitasi tangan juga disediakan di cawangan dan semua premis BIBD. Pelanggan dan orang awam bagaimanapun dinasihatkan supaya hanya mengunjungi cawangan apabila perlu dan menunda kunjungan mereka ke cawangan ke satu masa apabila selamat untuk berbuat demikian.

Apabila mengunjungi cawangan bank, langkah berjaga-jaga yang ketat harus diamalkan oleh pelanggan. Memakai pelitup muka diwajibkan sepanjang masa dan pelanggan diwajibkan mengimbas aplikasi BruHealth sebelum memasuki premis BIBD.

Pemeriksaan suhu dijalankan di semua pintu masuk dan pelanggan diwajibkan mengenalkan penjarakan sosial. Selain itu, pelanggan digalakkan membawa pen mereka sendiri untuk mengurangkan risiko pendedahan.

Kenyataan menambah BIBD akan terus berusaha untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan dan akan mengemas kini langkah pencegahan berdasarkan perkembangan situasi COVID-19 di Brunei.

BIBD ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas kesabaran dan pemahaman mereka terutamanya apabila langkah pencegahan berkenaan mengakibatkan penangguhan dalam perkhidmatan untuk pelanggan.

Antara langkah pencegahan yang dilaksanakan BIBD adalah mensanitasi terminal perkhidmatan layan diri. – Gambar serahan BIBD