BIBD lancar Aspirasi 4

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BIBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Dengan matlamat untuk menggalakkan orang ramai memupuk minat menabung serta menggunakannya sebagai aspirasi mereka ke arah yang lebih baik, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah melancarkan Aspirasi 4, musim terkini produk sijil simpanan yang memberikan ganjaran kepada pelanggan dengan hadiah-hadiah wang tunai menarik, hari ini.

Semasa pelancarannya yang diadakan secara maya, taklimat mengenai Aspirasi 4 disampaikan oleh Timbalan Ketua Kejuruteraan Produk, Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Lim Pea Chia dan Pegawai Produk, Kumpulan Perbankan Runcit, Awang Muhammad Zharif bin Haji Sabli.

Menurut Lim Pea Chia, sejak Aspirasi diperkenalkan terdapat peningkatan yang ketara dari segi kesedaran orang ramai dalam budaya penyimpanan di mana daripada Aspirasi 1 hingga Aspirasi 3 terdapat kadar pertumbuhan sebanyak kira-kira 200 peratus penglibatan orang ramai dalam program tersebut.

Dengan potensi untuk memenangi ganjaran sebanyak $250,000, pusingan terkini Aspirasi terus menggalakkan orang ramai untuk memupuk budaya menyimpan, minat dan hobi mereka serta menjadikannya sebagai aspirasi mereka untuk mencapai ke arah yang lebih baik.

Menerusi Aspirasi 4, Lim Pea Chia menjelaskan BIBD sekali lagi akan memberikan ganjaran kepada lebih 400 pemenang dengan hadiah wang tunai berjumlah keseluruhannya $850,000 pada tahun 2022.

Lim Pea Chia (kiri) dan Awang Muhammad Zharif semasa memberi taklimat mengenai BIBD Aspirasi 4 kepada pihak media semasa sesi media pelancaran BIBD Aspirasi 4 secara maya.
Chai Chua, Ryan Chua dan Hayati Wahab dari Kabunku di mana kisah kejayaan perusahaan berinspirasi itu diketengahkan dalam Aspirasi 4.

Sebagai respons kepada kejayaan Aspirasi 3, BIBD juga akan meningkatkan jumlah simpanan maksimum kepada $350,000 serta pada masa yang sama, mengekalkan jumlah simpanan minimum sebanyak $50 bagi membolehkan semua orang untuk menyimpan dan mengambil bahagian dalam program ganjaran Aspirasi 4.

Sementara itu, Awang Muhammad Zharif berkata sebagai usaha menggalakkan pelanggan untuk terus melabur dan menyimpan dengan lebih lama lagi, Aspirasi 4 terus untuk menyediakan kesan penggandaan yang mana akan memberikan ganjaran kepada pelanggan yang mengekalkan simpanan mereka bagi tempoh yang lebih lama.

Simpanan yang disimpan di antara 181 hari hingga 270 hari akan berhak untuk mendapatkan dua kali ganda jumlah penyertaan manakala simpanan yang disimpan selama 271 hari dan lebih akan berhak untuk mendapatkan tiga kali ganda jumlah penyertaan.

Sepanjang tempoh 12 bulan akan datang, Aspirasi 4 akan memberikan ganjaran kepada seramai 35 orang pemenang bulanan dengan hadiah wang tunai $1,000 setiap seorang iaitu berjumlah keseluruhannya 420 orang pemenang di sepanjang 12 bulan, lima orang pemenang suku tahunan dengan hadiah wang tunai $10,000 setiap seorang iaitu berjumlah keseluruhannya 20 orang pemenang suku tahunan di sepanjang empat suku tahun dan seorang pemenang hadiah utama akan membawa pulang wang tunai $250,000.

Awang Muhammad Zharif menerangkan, untuk layak bagi program ganjaran berkenaan, simpanan perlu disimpan bagi tempoh minimum 90 hari dengan simpanan minimum pegangan sebanyak $50 sepanjang tempoh program berkenaan.

BIBD Aspirasi merupakan sebahagian daripada aspirasi bank sebagai Rakan Kongsi dalam Perkembangan ke arah membina sebuah literasi kewangan yang lebih kuat dan asas kewangan kukuh di kalangan orang ramai dengan menggalakkan serta memberikan ganjaran kepada amalan menyimpan.

Ia adalah selaras dengan komitmen BIBD ke arah penyelarasan dan kemapanan dengan Maqasid Shariah.

Aspirasi 4 juga mengetengahkan kisah kejayaan, Kabunku, sebuah perusahaan mikro yang pada awal memulakan penanaman sayur-sayuran sebagai hobi semasa permulaan pandemik dan kemudiannya menjadi seorang pengusaha berjaya di mana beliau terus komited kepada minatnya iaitu Kabunku Aquaponics.

Kisah Kabunku yang penuh inspirasi itu, mempamerkan inti pati BIBD Aspirasi dan orang ramai mengikuti kisah Kabunku di sepanjang perjalanan Aspirasi 4.