BIBD lancar Community for Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini telah mendedahkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharu mereka, Community for Brunei yang menampilkan dua projek baharu iaitu Community for Covid dan Community for Ramadhan.

Community for Brunei merupakan platform pasaran maya yang direka untuk membantu perniagaan kecil-kecilan, menekankan pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan sosial yang menjadi nadi penting kepada Brunei yang telah diumumkan semalam oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga pengerusi BIBD pada sidang media COVID-19 di Kementerian Kesihatan.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dalam sidang media menerusi Zoom Meeting hari ini berkata, “Penularan dramatik COVID-19 ini telah memberi kesan kepada masyarakat, perniagaan dan kehidupan seharian di seluruh dunia.”

BIBD bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif yang membolehkan individu berkumpul untuk melakukan tindakan kolektif, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan seterusnya melindungi kehidupan pengusaha mikro, kecil dan sederhana.

Platform Community for Brunei itu memanfaatkan teknologi untuk menyatukan komuniti, menyediakan ekosistem dalam talian dengan konsep pembayaran digital yang bersepadu sebagai sebahagian daripada usaha BIBD untuk mendorong ke arah masyarakat digital dengan ekonomi tanpa tunai.

Hajah Nurul Akmar dan warga BIBD serta mereka yang terlibat dalam platform tersebut ketika sidang media yang diadakan menerusi aplikasi Zoom.
Sidang media menerusi Zoom yang membincangkan mengenai platform Community for Brunei.

“Kami berharap Community for Brunei ini akan menjadi destinasi perdana bagi perniagaan tempatan yang membolehkan mereka berkembang dan dalam masa yang sama, menjadi tempat memberi balik kepada masyarakat,” tambahnya.

Manakala Shinny Chia dari The Collective pula menjelaskan, “Community for Brunei itu dirancang untuk menjadi platform dalam talian yang selamat dikendalikan yang mana ia adalah laman web percuma untuk PKS.

Ini akan menyokong mereka dalam mendigitalkan perniagaan mereka sejajar dengan matlamat ekonomi digital untuk Brunei selain itu tidak ada kos untuk vendor selama tempoh tiga bulan pertama di laman ini di mana vendor akan kekal menerima hasil jualan mereka 100 peratus.

Bukan setakat itu, Community for Brunei turut disokong sepenuhnya oleh BIBD dan diilhamkan oleh usahawan tempatan, The Collective, Think Axis dan Alicia Newn dan di bawah inisiatif ini, BIBD dengan bangga mengumumkan projek pertama yang akan dilancarkan di luar platform iaitu Community for Covid.

Community for Covid pula adalah cara untuk perniagaan kecil di Brunei memperluas kemampuan mereka untuk memperoleh dan juga membantu menyokong barisan hadapan melalui platform pasaran dalam talian yang dapat diakses.

Pelanggan dapat membeli makanan dan minuman, pakej penjagaan dan perkhidmatan dari platform yang akan dihantar terus ke barisan hadapan di pelbagai hospital di seluruh negara.

Apa yang menariknya dan mengelakkan pembaziran, keperluan barisan hadapan di pusat perubatan dan hospital di seluruh negara akan dimaklumkan kepada masyarakat umum melalui penghitungan dalam talian.

Orang ramai akan dapat memilih pakej penjagaan dan sumbangan yang boleh dibeli terus dari laman web dan dihantar terus ke barisan hadapan.

Sementara itu, Pada 1 Ramadan ini, Community for Brunei akan melancarkan projek kedua iaitu Community for Ramadhan.

Inisiatif terbaharu ini bertujuan untuk menjadi ‘gerai ramadan’ maya, yang membolehkan orang ramai membeli makanan dan minuman dari vendor yang biasanya menyertai gerai Ramadan yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Bagi vendor-vendor yang berminat untuk mengambil bahagian dalam Community for Ramadhan ini akan bermula pada 20 April 2020 dan peniaga yang berminat diminta untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan pendaftar syarikat (jika belum) dan juga mendaftar untuk akaun BIBD MSME.

Orang ramai boleh mula memesan untuk juadah berbuka bulan puasa Ramadan setelah anak bulan Ramadan diumumkan dan waktu terakhir tempahan pada pukul 10 pagi pada 1 Ramadan.

Penjual yang ingin menyertai boleh menghubungi BIBD untuk pendaftaran setelah mendapat pendaftaran 16/17, pembukaan akaun MSME dan pendaftaran QuickPay.

Di samping itu, vendor yang berdaftar di bawah KHEDN atau KKBS yang telah memenuhi syarat disarankan memaklumkan melalui kementerian masing-masing yang mana pihak kementerian akan menghantar senarai tersebut ke BIBD untuk tujuan kemasukan.

Manakala orang ramai disarankan untuk melayari www.CommunityforBrunei.com dan melayari laman media sosial BIBD untuk keterangan lanjut.