BIBD lancar ‘Komuniti untuk Ramadan’

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Komuniti untuk Brunei, yang merupakan inisiatif terkini Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), telah mengumumkan pelancaran ‘Komuniti untuk Ramadan’.

Program berkenaan bertujuan untuk menyediakan gerai Ramadan alam maya yang membolehkan orang awam membeli makanan dan minuman daripada pelbagai peniaga yang akan dihantar terus kepada pembeli, BIBD menjelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Penyertaan bagi para peniaga telah bermula pada 20 April lalu dan setakat ini terdapat lebih 50 peniaga telah mendaftar bagi laman sesawang berkenaan dengan lebih banyak akan ditambah dalam beberapa hari mendatang.

Antara peniaga yang termasuk dalam Komuniti untuk Brunei itu adalah para pengusaha BIBD SEED di samping pelbagai Mualafpreneur termasuk peniaga-peniaga yang biasanya menyertai gerai Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Kenyataan menjelaskan, para pelanggan akan dapat membuat tempahan di laman sesawang www.communityforbrunei.com bermula esok, di mana tempahan yang diterima sebelum pukul 6 petang akan dijadualkan penghantaran oleh syarikat penghantaran makanan pada hari seterusnya dan sebarang tempahan yang diterima selepas pukul 6 petang dihantar dalam tempoh 48 jam.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dipetik sebagai berkata, “Idea di sebalik ‘Komuniti untuk Ramadan’ adalah untuk membolehkan rakyat Brunei merasakan semangat gerai Ramadan dalam talian.

“Susulan COVID-19, kami berharap untuk menghimpunkan para peniaga dan pelanggan dalam pasar maya. Pelanggan akan mendapat persekitaran pembayaran yang selamat dan terjamin, di mana hidangan sungkai mereka akan dihantar terus ke rumah mereka,” ujar beliau.

Tambah beliau, “Bagi para peniaga, ini akan menjadi satu peluang bagi mereka menjalankan perniagaan secara digital semasa pandemik. Tiada bayaran pendaftaran dikenakan bagi para peniaga di platform ini sehingga 16 Julai 2020.

“Bagi pengusaha perusahaan mikro dan kecil, mereka tidak perlu bimbang mengenai transaksi tunai atau mendapatkan syarikat-syarikat penghantaran, kerana elemen-elemen berkenaan telah termasuk dalam ekosistem Komuniti untuk Brunei,” jelas beliau.

Para peniaga yang ingin menyertainya masih boleh menghubungi BIBD menerusi e-mel di alamat [email protected] bagi pendaftaran selepas mendapatkan pendaftaran 16/17, pembukaan akaun PMKS dan pendaftaran QuickPay.