Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    BIBD ME, BSI jalin kerjasama

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dalam usaha menjalin kerjasama di rantau Teluk, BIBD Middle East (ME) Ltd, anak syarikat milik penuh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bank Syariah Indonesia (BSI) pada majlis yang berlangsung di The Ritz Carlton, Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai, baru-baru ini.

    Hadir menandatangani bagi pihak BIBD ialah Pegawai Eksekutif Kanan, BIBD ME, Syed Alwi bin Syed Abdillah Alkaff.

    Beliau berkata, “Sebagai tumpuan utama Kumpulan BIBD dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC), BIBD komited dan tidak sabar melihat peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan di rantau ini dan MoU ini akan membuka laluan kepada BIBD menjalin hubungan dan kerjasama baharu yang akan membantu kami mencapai matlamat serta menyelaraskannya sejajar dengan strategi kumpulan dan rangka kerja kemapanan,” tambahnya.

    Menurut kenyataan yang diterima BIBD, hari ini, pemeteraian MoU berkenaan membuka peluang kerjasama dalam bidang perbendaharaan, perdagangan kewangan, perbankan transaksi, pembiayaan bersindiket Islam, pengiriman wang dan pembangunan kapasiti manusia dan sebagainya. BSI pula merupakan bank Islam milik Republik Indonesia yang ditubuhkan secara rasmi pada awal tahun 2021 hasil daripada penggabungan antara bank-bank syariah milik kerajaan berkenaan.

    Rangkaian aktiviti BIBD ME termasuk mengatur urus niaga dalam pelaburan, memberi nasihat tentang produk kewangan dan mengatur dan menasihati mengenai pinjaman.

    Pada Februari 2017, BIBD telah tampil mengembangkan kewujudannya di Dubai melalui BIBD ME, sebuah entiti dikawal oleh Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Dubai (DFSA) yang telah memberikan BIBD ME dengan Lesen Kategori 4 untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam sebagai institusi kewangan Islam.

    Syed Alwi bergambar ramai bersama pegawai kanan lain selepas majlis menandatangani MoU dengan Bank Syariah Indonesia (BSI) yang berlangsung di The Ritz Carlton, Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai, baru-baru ini. – Gambar serahan BIBD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...