BIBD ME sokong seruan Baginda Sultan

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini, telah berkenan beramah mesra bersama pasukan BIBD Middle-East (ME) Limited di Ekspo 2020 Dubai.

BIBD ME ialah anak syarikat milik penuh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang berpangkalan di Dubai yang aktivitinya termasuk mengatur urus niaga dalam pelaburan, memberi nasihat tentang produk kewangan serta mengatur dan menasihati mengenai kredit.

Menurut BIBD, susulan pertemuan di Pavilion Brunei semasa ekspo itu, BIBD ME menyokong penuh seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menggalakkan kemakmuran ekonomi bagi rakyat.

Baginda Sultan dalam titah ucaptama semasa Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2022 di Dubai menekankan bahawa belia dan wanita hari ini, sebagai pemimpin masa depan, perlu menyesuaikan diri dengan dasar semasa untuk menghadapi cabaran dan tuntutan pada masa mereka.

Baginda juga bertitah menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan UAE terutamanya dalam menguruskan perubahan iklim.

Gambar ramai semasa lawatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ke pejabat BIBD ME, baru-baru ini. – Gambar serahan BIBD

Mengenai nilai keamanan dan kestabilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa ini adalah penting untuk kemajuan ekonomi yang berterusan untuk menjamin masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

Seruan berkenaan sejajar dengan Rangka Kerja Kemapanan Kumpulan BIBD yang menandakan fokus jelas bank dan keputusan strategik untuk menyokong komitmen yang lebih luas terhadap kemapanan, menggariskan nilai Maqasid Syariah serta menyokong bukan sahaja agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan yang berkaitan tetapi juga sektor swasta.

Sebagai pusat tumpuan Kumpulan Syarikat BIBD dalam Majlis Kerjasama Teluk, BIBD ME kekal komited dan bersedia untuk menyahut seruan Baginda Sultan dan mencari peluang melalui menjalin hubungan baharu bagi bank serta komuniti perniagaan, pada masa yang sama mengukuhkan hubungan yang sedia ada.

Pasukan BIBD ME terdiri daripada 60 peratus lelaki dan 40 peratus wanita Brunei dan Kumpulan Syarikat BIBD akan terus melabur dalam kakitangannya dan memastikan pendedahan yang lebih luas diberikan terutamanya kepada pasukan yang lebih muda.

BIBD telah bekerjasama rapat dan memberikan sokongan padu kepada Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Darussalam Enterprise (DARe) dalam enam bulan terakhir Ekspo 2020 Dubai.

Sebelum Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga pengerusi Kumpulan BIBD telah mengadakan lawatan ke pejabat BIBD ME yang terletak di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai di mana Yang Berhormat Dato juga mendengarkan maklum balas ringkas dan pembentangan perniagaan serta operasi BIBD ME semasa lawatan tersebut.

Pada Februari 2017, BIBD telah menubuhkan BIBD ME, sebuah entiti yang dikawal selia oleh Dubai Financial Services Authority (DFSA) yang telah memberikan Lesen Kategori 4 kepada BIBD ME untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam sebagai sebuah institusi kewangan Islam.