Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    BIBD panjat syukur tiga dekad kemajuan perbankan Islam

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Sempena ulang tahunnya ke-30, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah mengadakan solat Sunat Hajat dan Doa Kesyukuran di Jame’ Asr’ Hassanil Bokiah, Kiarong, bagi menandakan tiga dekad sumbangan dan kemajuan kepada landskap industri perbankan Islam khususnya dan kepada pembangunan ekonomi negara secara amnya.

    Hadir pada majlis itu ialah Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah atas kapasiti sebagai Pengerusi BIBD dan Penolong Mufti Brunei (Buhuth) di Jabatan Mufti Brunei, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof, yang juga Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD.

    Turut hadir ialah ahli Lembaga Pengarah BIBD, Badan Penasihat Syariah, pengurusan kanan, kakitangan serta kakitangan bersara dari Kumpulan BIBD.

    Menurut kenyataan BIBD, tanggal 13 Januari 1993 merupakan hari yang amat penting di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan membuka laluan kepada industri perbankan Islam di Negara Brunei Darussalam dengan pengumuman penukaran Bank Antarabangsa Brunei menjadi Bank Islam Brunei (IBB).

    Pada 2005, atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, IBB bergabung dengan Bank Pembangunan Islam Brunei (IDBB) untuk mewujudkan BIBD.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bersama ahli Lembaga Pengarah BIBD, Badan Penasihat Syariah, pengurusan kanan, kakitangan serta kakitangan bersara dari Kumpulan BIBD semasa solat Sunat Hajat dan Doa Kesyukuran di Jame’ Asr’ Hassanil Bolkiah.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew sama-sama menunaikan solat Sunat Hajat dan solat Asar berjemaah bagi memulakan acara.
    Majlis diteruskan dengan Selawat Tafrijiyyah oleh para pelajar BIBD Alaf.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam kenyataan itu menyatakan rasa syukur kerana dalam tempoh 30 tahun lalu, negara telah menyaksikan perkembangan BIBD, dalam menyokong visi Baginda Sultan yang ingin mengubah Negara Brunei Darussalam menjadi hab kewangan Islam.

    “Kami amat berterima kasih kepada pelanggan kami dan rakyat Brunei Darussalam atas sokongan dan kesetiaan berterusan mereka. Pada masa yang sama, kami juga menghargai sumbangan semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan pembangunan dan pertumbuhan BIBD sepanjang tiga dekad yang lalu, termasuk ahli Lembaga Pengarah dan Lembaga Penasihat Syariah.

    “Melihat ke depan, kami berharap dapat menunaikan komitmen untuk berkhidmat kepada pelanggan, masyarakat dan negara, Insya-Allah.”

    Terdahulu, acara dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran, Bacaan Takhtim dan
    Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul Azim serta kakitangan BIBD yang telah kembali
    ke rahmatullah.

    Majlis diteruskan dengan solat Sunat Hajat diikuti dengan solat fardu Asar berjemaah dan Selawat Tafrijiyyah oleh para pelajar BIBD Alaf.

    Sepanjang 30 tahun yang lalu, BIBD telah meneruskan komitmennya untuk menyumbang kepada usaha pembinaan Negara Brunei Darussalam sebagai penjaga industri perbankan Islam.

    Bank mempunyai sejarah lama menyokong kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, sama ada melalui amalan perniagaannya serta inisiatif berasaskan komuniti bank seperti BIBD SEED dan BIBD ALAF.

    BIBD juga telah menjadi penyokong kuat pembangunan PKS tempatan melalui perkhidmatan SME360.

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...