BIBD pemacu agenda perubahan iklim

Oleh Sim Y.H.

Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah negara yang telah menandatangani Perjanjian Paris, memainkan peranan bersama negara-negara lain di dunia dalam melaksanakan pelbagai tindakan dengan matlamat untuk menangani masalah perubahan iklim.

Brunei komited untuk membuka laluan karbon rendah dan berdaya tahan iklim bagi sebuah negara yang mapan. Sehubungan itu, Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) menyokong prinsip, nilai dan strategi untuk mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kapasiti sinki karbon dan mengukuhkan daya tahan iklim seluruh negara.

Dalam hubungan itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengorak langkah penting ke arah memberikan akses kepada pembiayaan bagi tindakan perubahan iklim menerusi penandatanganan Memorandum Persefahaman dengan Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCC) dalam masa yang terdekat.

Dengan adanya fokus yang tertumpu daripada BIBD itu, ia akan membolehkan syarikat-syarikat dan juga individu untuk mempunyai akses kepada dana pembiayaan perubahan iklim.

“Kami masih perlu membuat perbin- cangan lanjut lebih perinci mengenai MoU tetapi saya difahamkan, hasratnya ialah untuk menggunakan tabung tersebut untuk menjana kesedaran dan pendidikan, digunakan untuk Protokol Hijau, memberikan akses kepada pembiayaan kepada syarikat dan pihak yang berkenaan.”

Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim menjelaskan perkara itu dalam temu bual baru-baru ini.

Walaupun pada masa ini, belum terdapat projek khusus yang dikenal pasti menerusi MoU berkenaan, ia boleh dikaitkan dengan projek-projek masa hadapan yang mempunyai hubungan dengan perubahan iklim seperti pertanian mapan atau tenaga boleh diperbaharui, tambahnya.

Menerangkan lanjut penyertaan BIBD dalam agenda perubahan iklim kebangsaan melalui MoU berkenaan, beliau berkata ia bukan sahaja dilihat sebagai sesuatu yang simbolik tetapi merupakan satu komponen penting iaitu pemboleh (enablers) kepada usaha-usaha menangani perubahan iklim.

Penglibatan BIBD dalam usaha itu akan menjadi perangsang kepada institusi kewangan dan juga syarikat- syarikat besar lain di Brunei, supaya tampil ke hadapan menyokong agenda perubahan iklim.

Haji Azhar berkata bahawa pembiayaan merupakan komponen penting dalam agenda perubahan iklim. Oleh yang demikian, BNCCC melalui Urusetia Perubahan Iklim juga telah membuat satu inisiatif untuk

melancarkan Dana Perubahan Iklim yang akan memberikan peluang kepada syarikat-syarikat untuk menyalurkan sumbangan mereka kedalam dana tersebut. Dana ini dihasratkan akan dapat membantu membiayai pelaksanaan strategi-strategi di bawah dasar BNCCP seperti penanaman pokok, pemasangan panel suria, meningkatkan kesedaran awam serta pelbagai jenis aktiviti yang dirancang oleh pihak Urusetia Perubahan Iklim.

Selain itu, Haji Azhar turut menekan- kan pentingnya peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat sama dalam pelbagai aktiviti bagi menyokong agenda perubahan iklim negara seperti aktiviti penanaman pokok, pengurangan sisa buangan dan mengurangkan penggunaan plastik.

Manakala itu, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dalam temu bual sama, berkata penandatanganan MoU di antara BIBD dan BNCCC secara tentatif dijadualkan dimeterai pada suku pertama 2022.

Menerusi MoU itu, BIBD akan memainkan peranan sebagai pemangkin dan pemacu untuk meningkatkan kesedaran mengenai BNCCC dan usaha mencapai agenda perubahan iklim negara bersama-sama dengan individu, NGO dan semua pihak demi mencapai matlamat BNCCP.

Penglibatan BIBD dalam usaha itu bakal menyaksikannya berusaha ke arah pelaksanaan Protokol Hijau dan mengurangkan pelepasan karbonnya sendiri serta pada masa yang sama akan menyediakan pembiayaan dan menjadi rakan kongsi pilihan dalam menyokong projek-projek dalam lima agenda iaitu penanaman pokok, penyelesaian berasaskan alam sekitar, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa dan peningkatan kesedaran.

Di samping itu, Hajah Noraini menerangkan bahawa usaha ke arah pembiayaan mapan akan berkisar kepada tiga tonggak utama iaitu perlindungan alam sekitar dengan penekanan kepada tenaga bersih, tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, biodiversiti, akuakultur mapan, pertanian atau perhutanan dan perolehan mapan. Keusahawanan bertanggung jawab pula menekankan pendigitalan, infrastruktur, pengurusan aset dan infrastruktur pengangkutan rendah karbon serta impak sosial inklusif menumpukan kepada literasi kewangan, akses kepada pembiayaan, mempromosikan keusahawanan mapan dan menyediakan akses kepada pendigitalan.

Hajah Noraini menjelaskan BIBD juga akan menumpukan kepada pelbagai elemen termasuk pendidikan, sokongan dan penjanaan kesedaran kepada orang ramai dengan memanfaatkan pangkalan pelanggan serta media sosial serta pengaruhnya dalam masyarakat untuk menyebarkan mesej kesedaran dan pendidikan berkenaan.

BIBD juga mengalu-alukan kerjasama NGO dalam usaha menangani isu perubahan iklim di mana ia memerlukan usaha yang bersepadu dari pelbagai pihak agar menghasilkan tindakan yang akan memberikan manfaat kepada generasi akan datang.

Berbalik kepada MoU yang bakal dimeterai oleh BIBD dan BNCCC, Hajah Noraini berharap BIBD dapat menjadi pemangkin atau pemacu kepada inisiatif berkenaan serta menjadi rakan kongsi pertama bagi kempen ‘race to zero’.

Beliau berkata ia bukannya satu tugasan yang mudah tetapi percaya sebagai rakan kongsi masyarakat, pihaknya mampu melaksanakan tugasan itu. BIBD juga komited menyumbang kepada masyarakat menerusi kemapanan yang telah ditetapkan dalam peta jalannya dan dengan sokongan dan bimbingan daripada lembaganya, ia akan terus termaktub dalam nilai-nilai perniagaannya dan rangka kerja kemapanan korporatnya. Ia bukan sahaja meliputi tanggungjawab sosial korporatnya tetapi juga rangka kerja Matlamat Kemapanan Alam Sekitar (ESG) yang akan meliputi dasar perniagaan serta prosesnya.

“Ini merupakan satu perjalanan yang memerlukan sokongan daripada semua pihak yang berkepentingan, kakitangan kami dan keseluruhan industri,” ujarnya.

Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya
Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman

Ringkasan

Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei

–  Menyokong prinsip, nilai dan strategi mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan sinki karbon dan mengukuhkan daya tahan iklim.

– Cara betul dan usaha untuk hidup secara mapan bagi negara dan rakyat

– Setiap individu mempunyai peranan yang penting melaksanakan langkah-langkah ke arah menyokong BNCCP.

MoU BIBD dengan BNCCC

– Bakal dimeterai pada suku pertama 2022.

– BIBD akan memainkan peranan sebagai pemangkin dan pemacu meningkatkan kesedaran mengenai BNCCC  serta mencapai agenda perubahan iklim negara demi mencapai matlamat BNCCC.

–  BIBD berada di barisan hadapan menangani agenda perubahan iklim dan komitmen mereka melalui penyediaan pembiayaan bagi pelaksanaan projek

– Ia membolehkan syarikat dan individu mempunyai akses dana pembiayaan perubahan iklim

– BIBD berharap menjadi pemangkin inisiatif menuju kemapanan alam sekitar negara

Rakan Kongsi Dalam Perkembangan Menuju Kemapanan Negara

–  Usaha ke arah pembiayaan mapan akan berkisar kepada tiga tonggak utama iaitu pelindungan alam sekitar, keusahawanan bertanggungjawab dan impak sosial inklusif.